Firma e-hailing, Grab, melantik Mark Porter sebagai Ketua Pegawai Teknologi (CTO) bagi Pengangkutan.

Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata jawatan yang baru diwujudkan itu akan menyaksikan Porter menguruskan prasarana teknologi Grab dan kumpulan yang dikhususkan kepada perniagaan pengangkutannya yang termasuk sewa kereta persendirian, teksi, teksi motosikal, perkongsian kereta, perkhidmatan multimodal dan banyak lagi.

Ketua Pegawai Teknologi Kumpulan Theo Vassilakis berkata, Grab komited memastikan sistemnya kekal stabil dan diyakini ketika syarikat itu terus berkembang.

"Pada masa yang sama, kemajuan inovasi di Grab bermakna kita perlu mereka bentuk, membina dan menghantar ciri-ciri dalam masa yang singkat dalam seminggu, bagi memastikan kita boleh memenuhi keperluan pelanggan dan landskap pasaran yang berkembang.

"Dengan kepakaran beliau, tidak ada yang lebih berpengalaman dan berkemampuan daripada Porter bagi memastikan prasarana teknologi Grab selamat, kukuh dan sesuai untuk tujuan," kata Vassilakis.

-- BERNAMA