Grab, pengendali pengangkutan e-hailing terkemuka di Asia Tenggara, mengumumkan langkahnya mengambil alih syarikat pembayaran berpejabat di Banglore, iKaaz, pada Rabu.

Platform pembayaran secara mudah alih iKaaz, yang meliputi pelbagai fungsi serta pasukan kepimpinannya yang berpengalaman, akan mempercepatkan pembangunan ciri dan integrasi rakan GrabPay, yang menjadi platform pembayaran Grab.

Setelah mempunyai kedudukan kukuh sebagai platform #1 ride-hailing Asia Tenggara, Grab melebarkan sayapnya ke semua pasaran di rantau ini pada 2018, dengan matlamat untuk muncul sebagai sebuah platform pembayaran universal di Asia Tenggara.

Dilancarkan pada 2014, teknologi iKaaz dibangunkan untuk beroperasi dalam persekitaran Internet mencabar di India, di samping untuk memudahkan dan mempercepatkan urusan pembayaran melibatkan beribu-ribu saudagar.

Teknologi iKaaz merangkumi pelbagai bentuk inovasi seperti pembayaran NFC, kod-QR dan berasaskan audio serta pembayaran bil, pembayaran secara dalam talian dan P2P.

"Teknologi ini memberi khidmat kepada saudagar dan rakan mereka daripada pelbagai industri dan dalam kedudukan berbeza, dari lot letak kenderaan dan lapangan terbang, hinggalah kepada kedai runcit dan hotel.

"Kekayaan ciri-ciri pembayaran secara luar talian menawarkan fleksibiliti yang diperlukan untuk menyesuaikan platform GrabPay kami dengan setiap negara serta rakan di Asia Tenggara.

"Kami tidak sabar untuk memanfaatkan kepakaran pasukan kepimpinan iKaaz dan membina GrabPay untuk menjadi platform pembayaran universal di Asia Tenggara," kata Pengarah Urusan GrabPay Asia Tenggara, Jason Thompson, dalam satu kenyataan, pada Rabu.

"Pasukan kami telah bekerja keras untuk membawa lebih banyak orang ke dalam ekonomi tanpa tunai. Dengan berganding bahu bersama Grab, kini kami mempunyai peluang untuk melihat bagaimana teknologi kami dapat menambah baik kehidupan lebih 620 juta penduduk Asia Tenggara serta ekonomi digitalnya yang semakin berkembang," kata pengasas iKaaz, Soma Sundaram.

Kini, platform Grab berjaya memudahkan pelaksanaan lebih 3.5 juta urus niaga setip hari dan lebih satu bilion urus niaga setahun.

-- BERNAMA