Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia mengambil satu lagi langkah hadapan ke arah menjadi sebuah syarikat pelancongan teknologi.

Terbaharu, AirAsia melancarkan wajah baharu bagi laman web dan aplikasi mudah alihnya dengan memperkenalkan chatbot dikenali sebagai AVA (AirAsia Virtual Allstar).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia (Digital, Transformasi dan Perkhidmatan Korporat), Aireen Omar berkata, wajah baharu itu direka untuk memberikan pengalaman penggunaan membuat tempahan penerbangan dan mendapatkan tawaran beli-belah atas talian serta sokongan pelanggan yang lebih lancar kepada pelanggan.

"Kami amat teruja untuk meraikan tahun baru ini dengan laman web dan aplikasi baharu yang dikuasakan kecerdasan buatan (AI) serta menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih baik, pantas dan intuitif.

"Kami akan berusaha menambah ciri pada aplikasi mudah alih dan berusaha meningkatkan pengalaman supaya ia bukan sahaja menjadi platform tempahan penerbangan tetapi teman perjalanan anda," katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran laman web, aplikasi mudah alih berwajah baharu dan chatbot di ibu pejabat AirAsia, RedQ di sini pada Isnin.

Aireen (empat dari kiri) ketika melancarkan wajah baharu laman web AirAsia dan chatbot AVA di RedQ pada Isnin. - Foto Astro AWANI / Malik Ridhwan

Laman utama AirAsia baharu memberi pengalaman penggunaan yang lebih mudah dan pantas termasuklah notis penerbangan akan datang, pintasan carian dan carian baharu, pautan tawaran hotel, barangan bebas cukai dan sebagainya.

Chatbot AVA pula boleh didapati dalan ciri sembang secara langsung untuk membalas pertanyaan para pelanggan dengan serta-merta menerusi lapan bahasa termasuk Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Korea.

Tambah Aireen, ini merupakan salah satu daripada pelan digitalisasi AirAsia ke arah menjadi lebih daripada sekadar syarikat penerbangan.

“Kami banyak melabur dalam teknologi untuk mendigitalkan syarikat ini agar jenama AirAsia bukan sekadar syarikat penerbangan, tetapi sebuah syarikat pelancongan teknologi. Revolusi digital telah banyak ubah cara pelanggan kami berinteraksi, jadi kami komited untuk mengembangkan digitalisasi dalam operasi perniagaan,” kata Aireen.

Para pengguna aplikasi mudah alih AirAsia juga boleh menikmati diskaun sebanyak 19 peratus menerusi kod promosi MOBILE19 untuk tempahan melalui aplikasi tersebut bermula hari ini hingga 3 Februari 2019 untuk tempoh perjalanan antara 1 Ogos dan 30 November 2019.

Berikut merupakan ciri-ciri baharu laman web dan aplikasi mudah alih AirAsia:

Halaman utama baharu
Halaman utama komprehensif yang baharu direka untuk memberikan pengalaman penggunaan yang lebih mudah dan cepat, termasuklah notis penerbangan akan datang, pintasan carian dan carian baharu, pautan kepada tawaran hotel, perjalanan, barangan bebas cukai dan aktiviti menarik, destinasi yang disyorkan dan pautan BigPay, aplikasi kewangan AirAsia.

Chatbot AVA
AVA, chatbot yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) kini boleh didapati melalui ciri sembang langsung baharu untuk membalas pertanyaan para tetamu dengan serta-merta. AVA boleh membalas dalam lapan bahasa - Bahasa Inggeris, Malaysia, Thai, Indonesia, Vietnam, Korea, Cina Ringkas dan Cina Tradisional. AVA dibina oleh pasukan Kejuruteraan Perisian dan Teknologi AirAsia (AASET) serta pasukan Kebahagiaan Pelanggan menggunakan teknologi dari Ada, sebuah syarikat berpangkalan di Toronto yang pakar dalam menyediakan pengalaman pelanggan yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI).

Carian penerbangan baharu menggunakan lokasi
Pengguna iOS kini boleh memilih untuk menggunakan peta interaktif yang menunjukkan semua destinasi AirAsia dalam satu halaman. Ciri ini adalah antara yang pertama dalam aplikasi syarikat penerbangan.

Pilihan Gabungan Stesen
Juga antara ciri yang pertama dalam aplikasi syarikat penerbangan, pengguna iOS kini boleh memilih stesen pelepasan dan ketibaan yang terdekat serta memilih bilangan hentian dan tempoh penerbangan.

Pembantu suara
Selain itu, pengguna iOS kini boleh menyemak status penerbangan akan datang melalui Siri. Untuk menggunakan ciri ini, klik pada pautan “Add to Siri” di bawah Jadual Penerbangan atau Tempahan Saya.

• Pendaftaran FACES
Para tetamu kini boleh mendaftar untuk perkhidmatan Fast Airport Clearance Experience System (FACES) di aplikasi mudah alih mereka untuk melepasi sekuriti dan menaiki penerbangan mereka dengan lancar. Hanya klik pada pautan “Akaun Saya” dan “My FACES” untuk mendaftar dengan video wajah anda selama 5 saat.

Ciri-ciri lain
Di samping itu, para tetamu juga boleh mencari tambang terendah menggunakan Kalendar Tambang Rendah, mengumpul Mata Ganjaran BIG dan membuat pembayaran menggunakannya selain menikmati diskaun segera untuk ahli apabila mereka mendaftar masuk.