Harga runcit bagi petrol RON95, RON97 bagi bulan Ogos kekal seperti bulan lepas, manakala diesel mengalami kenaikan sebanyak 10 sen berkuat kuasa tengah malam ini.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Petron Malaysia, Datuk Alang Zari Ishak ketika mengesahkan kenaikan itu berkata harga runcit bagi RON95 kekal RM1.75 seliter manakala harga runcit bagi RON97 ialah RM2.10 seliter.

"Harga runcit bagi diesel pula naik 10 sen kepada RM1.70 seliter," katanya kepada Bernama.

Bulan lepas harga runcit petrol buat pertama kali mengalami kenaikan sejak April lalu apabila ketiga-tiga bahan berkenaan naik 5 sen berkuat kuasa 1 Julai.

Harga runcit petrol sejak April lepas adalah RM1.70 seliter bagi RON95, RM2.05 bagi RON97 manakala diesel dijual dengan harga RM1.55 seliter.