Harga minyak dijangka cecah AS$70 setong tahun ini

|

OCBC Bank menjangka harganya akan meningkat sedikit kepada hampir AS$70 setong pada 2018.

KUALA LUMPUR: : Dengan harga minyak berkisar antara AS$55 dan AS$60 satu tong ketika ini, OCBC Bank menjangka harganya akan meningkat sedikit kepada hampir AS$70 setong pada 2018 berikutan permintaan global yang kukuh serta bekalan yang berkurangan.

Pakar Ekonomi Penyelidikan dan Strategi Perbendaharaan OCBC, Barnabas Gan berkata, 2018 penuh dengan ketidakpastian yang tidak dapat dijawab.

Beliau berkata, ketegangan geopolitik kekal tinggi sementara permintaan tenaga mungkin menyederhana pada 2018 berikutan separuh kedua yang kukuh pada 2017.

"Risiko kenaikan harga minyak mentah pada 2018 adalah terhad, walaupun momentum kenaikan telah meningkat ke separuh kedua 2017. Harga yang lebih tinggi kebelakangan ini juga telah menyebabkan lebih banyak bekalan minyak AS.

"Walaupun demikian, kenaikan harga minyak setakat ini sangat rapuh dan pemain pasaran tidak akan teragak-agak untuk membawa harga minyak turun lebih rendah lagi," kata Gan sambil menambah, pengurangan pengeluaran boleh ditarik balik yang mungkin mengakibatkan lebihan bekalan.

Pelan OPEC untuk mengehadkan bekalan dalam usaha untuk menaikkan harga telah membuahkan hasil, terutama dengan kenaikan harga dan mengurangkan lebihan bekalan.

Dengan ketidakpastian mengenai trend bekalan, kekurangan yang tidak dijangka dalam permintaan tenaga akan bermakna tahun yang lebih lemah untuk minyak mentah.

"Untuk itu, kita tidak melihat banyak ruang untuk harga minyak meningkat pada 2018," kata Gan.

Dari segi bekalan, tarikh akhir OPEC baru-baru ini untuk melanjutkan kawalan minyak selama sembilan bulan lagi, boleh menandakan permulaan perjanjian yang lebih awal daripada jangkaan sementara kenaikan harga akan menyebabkan pengeluaran AS yang lebih tinggi, yang menunjukkan risiko kenaikan itu pada 2018 dapat dihadkan.

-- BERNAMA
Outbrain