Harga minyak mentah global dijangka tidak akan naik melepasi kadar USD40 setong pada 2016 susulan lebihan bekalan yang tidak menunjukkan tanda penurunan.

Menurut Felo Utama Sekolah Pengajian Siswazah Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr John Antony Xavier, Arab Saudi masih enggan memotong pengeluaran.

Tambahnya ini kerana Arab Saudi ingin kekal berdaya saing dalam sektor minyak dan gas dan memastikan pengeluar minyak mentah Shale di Amerika Syarikat kalah.

Selain itu Arab Saudi berkeras mahu Rusia turut kalah dalam penguasaan pasaran pengeluaran minyak mentah global.

“Arab Saudi membiarkan harga minyak jatuh secara bebas kerana mereka tidak mahu mengawal pengeluaran.

“Arab Saudi hendak mengalahkan pengeluar Shale di Amerika. Shale telahpun menjadi lebih efisen. Oleh itu, mereka dapat memotong pengeluaran.

“Tetapi jika harga pada USD36 atau USD37 diteruskan, pengeluar Shale dan pengeluar minyak lain akan disingkirkan,” kata beliau.

Pada tahun lepas, pengeluaran minyak mentah Rusia dilaporkan melepasi pengeluaran Arab Saudi.

Dalam masa yang sama, faktor Iran dilihat turut memainkan peranan dalam menentukan pengeluaran minyak mentah dunia.

“Harga minyak akan kekal sama untuk 2016 kerana sekatan terhadap Iran akan dihapuskan dan Iran bakal mengeluarkan minyak.

“Iran akan dapat membekalkan 500 ribu tong minyak sehari. Ini akan seterusnya terus menolak turun harga minyak,” kata Antony.

Bagaimanapun situasi semasa antara Arab Saudi dan Iran mungkin memberi sedikit sentimen positif kepada harga minyak.

Ini kerana Arab Saudi, selaku sekutu Amerika Syarikat, mungkin mempengaruhi keputusan Washington dalam keputusan menghapuskan sekatan ekonomi terhadap Iran.

Ini dijangka akan mengakibatkan Iran gagal memasuki pasaran eksport minyak.

Sementara itu, harga minyak Brent meningkat sedikit selepas ketegangan antara Iran dan Arab Saudi memuncak pasca hukuman mati ke atas seorang ulama Syiah terkenal.

Harga minyak mentah Brent naik 3% dalam dagangan Isnin kepada USD38.40 setong selepas Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran.

Sebelum ini, Iran berjanji tidak akan memburukkan pasaran minyak mentah global dengan bekalan berlebihan selepas sekatan ekonomi dihapuskan barat.