Harga minyak mentah dijangka berterusan rendah untuk beberapa tahun akan datang.

Dalam nota kajian MIDF Research berkata pengeluar minyak shale di Amerika Syarikat (AS) dijangka tidak menghadkan pengeluaran disebalik kelemahan harga minyak mentah dunia sekaligus membawa kepada lambakan bekalan di pasaran.

MIDF Research berkata ini kerana pengeluar minyak shale mempunyai kos pengeluaran lebih rendah susulan penggunaan teknologi canggih, sekaligus masih mampu kekal dalam pasaran.

Melalui kecekapan pengurusan kos juga, pengeluar shale mampu mengekalkan kadar keuntungan mampan.

Firma itu berkata permintaan tidak menunjukkan pemulihan disamping bekalan yang terus berlebihan, menyaksikan kelemahan harga berterusan.

Beberapa faktor jangka panjang dijangka terus beri tekanan kepada harga minyak antaranya pertumbuhan populasi perlahan serta penggunaan teknologi canggih dalam cari gali yang bakal mengurangkan kos pengeluaran sekaligus bekalan berlebihan berterusan.

Firma itu berkata pemerhatian kini adalah trend harga minyak selepas Rizab Persekutuan AS melakukan peningkatan kadar faedah yang dijangka Disember ini.

Sebelum ini, Organisasi Negara Pengeksport Minyak (OPEC) diketuai Arab Saudi dengan lantang menyuarakan hasrat untuk tidak menghadkan pengeluaran di tengah-tengah kelemahan permintaan global.

Tindakan itu terus memburukkan harga emas hitam (minyak) itu yang hilang lebih 50 peratus nilai sejak 2014.

Keadaan dijangka bertambah buruk apabila Iran berikrar untuk mula mengeksport kembali minyak sejurus selepas sekatan ekonomi oleh barat dihapuskan pasca perjanjian Nuklear negara itu dengan AS.