Pendapatan Malaysia Airlines Bhd (MAB) bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2019 (Q1 2019), meningkat dua peratus tahun ke tahun (y-o-y) susulan peningkataan tempat duduk bagi setiap kilometer.

Dalam kenyataan pada Jumaat, ia berkata prestasi itu juga dipacu oleh peningkatan lapan peratus kapasiti domestik dan antarabangsa.

MAB berkata faktor muatan tidak berubah pada 75.2 peratus apabila syarikat penerbangan itu mengimbangi peningkatan kapasiti dengan permintaan pasaran.

Syarikat penerbangan juga menyaksikan pertumbuhan marginal pulangan hasil daripada penambahan kapasiti dan tumbuhan positif penumpang sebanyak lima peratus.

"Pendapatan sampingan meningkat 23 peratus pada Q1 2019 susulan inisiatif yang membolehkan penumpang mempunyai lebih banyak pilihan dan fleksibiliti, selain harga yang kompetitif ke atas produk seperti bagasi prabayar, pemilihan tempat duduk dan lain-lain produk sampingan," katanya.

Bilangan penumpang yang mengakses tiga Golden Lounge di KLIA juga telah meningkat susulan pengubahsuaian dan peningkatan penawaran.

Sementara itu, MAB mencatat prestasi tepat pada masa pada 86 peratus berbanding 76 peratus pada tahun sebelumnya, hasil daripada kecekapan operasi yang lebih baik termasuk penyusunan semula rantaian serta penambahbaikan kebolehpercayaan penghantaran teknikal serta proses pengendalian darat.

Di samping itu, indeks kepuasan pelanggan dan skor promoter bersih juga mencatatkan peningkatan berikutan penambahbaikan dalam kabin, perkhidmatan pendaftaran masuk dan serta pengalaman laman web dan aplikasi mudah alih.

"Meskipun prestasi operasil Q1 kami tinggi berbanding prestasi tahun lepas, kami menjangkakan 2019 kekal sebagai tahun yang sangat mencabar.

"Persekitaran yang kompetitif dijangka terus meningkat pada 2019 disebabkan oleh lebihan kapasiti di rantau ini dan domestik, sebahagian besarnya didorong oleh pasaran santai yang sensitif pada harga, yang secara langsung memberi kesan kepada hasil," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Izham Ismail.

Walaupun MAB melindung nilai harga bahan api dan tukaran asing, ia akan terus terjejas oleh keadaan tidak menentu di peringkat luaran, termasuk perang perdagangan Amerika Syarikat-China, katanya, sambil menambah bahawa syarikat penerbangan itu tidak menjangkakan ia mendapat pulang modal tahun ini.

Izham juga berkata MAB akan meneruskan peningkatan hasilnya menerusi penawaran produk dan perkhidmatan yang ditambah baik dan pada masa yang sama mengoptimumkan kos.

"Tempahan untuk perjalanan hadapan mengukuh berbanding tahun lepas susulan pengukuhan saluran jualannya termasuk menerusi rakan niaga pelancongan dan memanfaatkan produk sedia ada seperti MHexplorer.

"Syarikat penerbangan itu juga berusaha untuk membangunkan pendapatan menerusi kaedah lain selain jualan tiket tradisional yang merangkumi kerjasama yang lebih rapat dengan rakan kongsi kami," katanya.