Sambutan Hari Kraf Kebangsaan berhasrat membawa hala tuju baharu kepada usahawan-usahawan tempatan dalam memasarkan produk mereka.

Bertemakan 'Kraf Memperkasa, Sosioekonomi Rakyat', sambutan tahun ini akan menjadi platform kepada usahawan kraf dan pereka seni kraftangan untuk membawa hasil produk terus kepada pengguna.

Menurut Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail, industri kraf adalah penjana ekonomi kepada sesebuah institusi keluarga.

Sehubungan itu, Kraftangan Malaysia juga menyahut saranan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mempertingkatkan promosi sebegini di lokasi-lokasi tumpuan pelancong secara bulanan bagi membolehkan usahawan-usahawan menjalankan perniagaan produk mereka.

“Kita ada menyediakan pelbagai program untuk menarik minat orang ramai menceburi industri kraf. Jadi, dengan program seperti ini diharapkan dapat membantu usahawan kraf tempatan,” tambah beliau lagi.

Selain itu, jelas beliau, sambutan HKK tahun ini juga akan memberi fokus kepada kelainan produk baharu bagi mengetengahkan identiti Malaysia.

“HKK 2020 akan mengetengahkan produk hadiah dan cenderamata sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 dalam bidang teksil, hasil rimba, logam, hasil tanah dan aneka kraf,” kata beliau kepada wartawan bagi mempromosikan HKK ketika sidang media yang diadakan di laman Wau, Kompleks Kraf, di sini pada Rabu.

Tambah beliau, fokus produk iaitu hadiah dan cenderamata itu tertumpu kepada penghasilan motif dan reka bentuk yang berasaskan ikon serta signature product yang melambangkan identiti Malaysia.

“Tahun ini pereka-pereka kita bekerja keras untuk melahirkan kepelbagaian produk, contohnya dari segi reka bentuk dan motif supaya ada kelainan daripada tahun-tahun dahulu,” kata Ibrahim.

Selain jualan kraf, pelbagai aktiviti menarik yang dirancang. Antaranya, pameran, pertandingan, demonstrasi kraf, khidmat iring, sesi perkongsian ilmu serta persembahan kesenian.

Dalam pada itu, mengulas isu kawalan keselamatan pengunjung berikutan kes wabak baharu COVID-19, Ibrahim berkata langkah kebersihan juga akan dititikberatkan oleh pihak penganjur.

Sementera pihak penganjur mempertingkatkan tahap kebersihan, pengunjung dan usahawan juga dinasihatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan tempat awam dan sentiasa mengunakan pencuci tangan (hand sanitizer) yang disediakan.

Hari Kraf Kebangsaan bakal disambut secara meriah bermula 27 Februari 2020 hingga 9 Mac 2020 bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Ia bertujuan memberi pengiktirafan kepada usahawan kraf tempatan atas komitmen mereka dalam menyumbang kepada ekonomi negara.

Sekitar 100,000 pengunjung dianggarkan bakal berpeluang untuk bertemu dan berinteraksi bersama lebih 300 orang usahawan kraf di kompleks itu.

Sambutan akan berlangsung sehingga 31 Mac dengan jualan kraf di beberapa pusat tumpuan pelancong dan hotel-hotel sekitar Lembah Klang serta pusat beli-belah seluruh Malaysia.