Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) hari ini menggesa sesetengah negara di Asia Tenggara (SEA) untuk menambah baik infrastruktur lapangan terbang dan kawalan trafik udara (ATC) mereka berikutan jangkaan pertumbuhan kukuh perjalanan udara di rantau ini.

Dengan menyebut Indonesia dan Filipina secara khusus, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengarah IATA, Alexandre de Juniac berkata, kapasiti lapangan terbang mereka perlu ditingkatkan manakala keperluan ATC perlu dirasionalisasikan.

"Mereka perlu ditingkatkan secara dramatik. Ia adalah tugas kita (IATA) untuk mendesak (mereka untuk meningkatkannya)," katanya pada sidang akhbar sempena Simposium Kewangan Dunia IATA di sini, hari ini.

De Juniac yang mengambil alih jawatan tertinggi IATA tiga minggu lalu berkata: "Pertumbuhan ekonomi rantau ini adalah kukuh. Infrastruktur perlu ditingkatkan seiring dengan pertumbuhan itu."

Data terbaru IATA menunjukkan trafik syarikat penerbangan Asia-Pasifik meningkat 9.8 peratus berbanding tempoh yang sama setahun lalu.

Kapasiti meningkat 8.6 peratus dan faktor muatan melonjak 0.9 peratus kepada 81.7 peratus.

Trafik antarabangsa dalam Asia naik 8.1 peratus, tertinggi dalam tempoh empat bulan.

IATA mewakili kira-kira 265 syarikat penerbangan yang menyumbang 83 peratus daripada trafik udara global.

Sementara itu, dalam ucaptama beliau di simposium berkenaan, de Juniac menggesa untuk kepantasan dan inovasi bagi membolehkan penerbangan terus menyumbang manfaat sosial dan ekonomi yang besar.

"Penerbangan adalah perniagaan kebebasan. Kita menjadikan mobiliti global wujud di mana sahaja," katanya.

De Juniac berkata, penerbangan membolehkan 63 juta orang kebebasan bagi mendapatkan mata pencarian mereka.

"Bagi 3.8 bilion pengembara, penerbangan merangkumi kebebasan untuk meneroka dunia, membina persefahaman, membangunkan perniagaan, menjalin persahabatan, menziarah sanak saudara atau menjadikan kehidupan mereka lebih baik.

"Kepantasan dan inovasi akan menjamin masa depan kita agar kita boleh terus menghasilkan manfaat terbabit," katanya.

Menurut de Juniac, industri syarikat penerbangan diramal menghasilkan gabungan keuntungan bersih US$39.4 bilion (US$=RM4.11) tahun ini, yang akan menjadi satu rekod.

"Kita mempunyai tahun yang sangat baik. Saya tidak meramalkan satu penamat kepada tempoh yang baik itu, tetapi adalah tidak realistik untuk mengharapkan ia akan berterusan selama-lamanya," katanya.

Menurutnya, keuntungan tidak disebarkan sama rata, dengan perbezaan ketara di kalangan rantau.

Antara potensi risiko yang dikenal pasti de Juniac ialah kenaikan mendadak harga minyak; peningkatan keganasan yang ditujukan kepada penerbangan dan perjalanan udara; kejatuhan mendadak ekonomi dan pengunduran daripada prinsip perdagangan bebas oleh satu atau lebih ekonomi utama.

"Ketidaktentuan berada di depan kita. Saya amat percaya kepada kepantasan dan inovasi. Kita tidak boleh tahu masa depan, tetapi kita perlu bersedia untuk bertindak balas dengan cepat apabila persekitaran berubah.

"Itu bukan mudah untuk mana-mana perniagaan dan ia adalah perjuangan sebenar untuk industri dipacu proses seperti pengangkutan udara," kata de Juniac. -- BERNAMA