Pembangunan ibu pejabat serantau China Railway Group Limited (CREC) di Bandar Malaysia dijangka mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan di Malaysia.

Menurut rakan kongsi pemaju Bandar Malaysia, Iskandar Waterfront Holdings (IWH), ini selaras dengan inisiatif utama Bandar Malaysia iaitu mengurangkan penghijrahan tenaga mahir Malaysia keluar negara.

Bandar Malaysia akan dibangunakan secara bersama oleh Kementerian Kewangan dan Consortium IWH-CREC.

Beliau berkata selain CREC, Bandar Malaysia dijangka menarik pemindahan lebih banyak ibu pejabat syarikat multinasional.

Ini katanya akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi warga Malaysia.

"Kami ingin menarik syarikat multinasional untuk menempatkan ibu pejabatnya di Bandar Malaysia. Ini penting bagi Malaysia untuk membuka lebih banyak peluang perniagaan bagi syarikat tempatan.

"Kami tidak hanya memberi fokus untuk menarik pelaburan asing, tetapi juga memberi fokus kepada isu penghijrahan tenaga mahir keluar negara.

"Ini turut merupakan keutamaan kerajaan dan komponen penting dalam pelan Bandar Malaysia." kata Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan Iskandar Waterfront Holdings, Tan Sri Datuk Lim Kang Hoo.

Beliau berkata Bandar Malaysia juga akan mempercepatkan pelan kerajaan untuk menjadikan Malaysia ekonomi membangun berpendapatan tinggi.

Tambah beliau pemindahan ibu pejabat syarikat multinasional ke Bandar Malaysia akan meningkatkan permintaan modal insan berkepakaran tinggi.

Menurut laporan Bank Dunia 2011, 305,000 tenaga mahir Malaysia berhijrah keluar negara dalam jangka Mac 2008 hingga Ogos 2009.

Ini berbanding 140,000 penghijrahan tenaga mahir keluar negara yang dicatatkan pada 2007.

Laporan itu turut berkata 20 peratus graduan Malaysia memilih keluar negara terutamanya ke Singapura untuk bekerja.

Pelaburan CREC bakal tarik lebih banyak FDI - Najib

Komitmen pelaburan sebanyak USD2 bilion daripada CREC di Bandar Malaysia, akan membawa kepada lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sebagai syarikat multinasional utama, keyakinan CREC terhadap Bandar Malaysia sebagai pelaburan yang berharga, mendasari keyakinannya kepada ekonomi Malaysia.

Najib berkata ramai pelabur asing sudahpun menyatakan minat terhadap pembangunan di Bandar Malaysia.

"Ini dengan jelas menunjukkan keyakinan CREC ke atas masa depan Malaysia. Kedua, ini menunjukkan persahabatan yang baik antara Malaysia dan China.

"Syarikat seperti CREC bergerak pantas, jadi kita perlu bertindak balas seiring," kata Najib.

Sementara itu, nilai pembangunan kasar (GDV) bagi keseluruhan Bandar Malaysia dijangka mencapai RM160 bilion.

Ini bagi ketiga-tiga fasa Bandar Malaysia yang dijangka siap dalam 20 tahun.

Beliau berkata ibu pejabat serantau CREC meliputi 30 peratus daripada pembangunan fasa pertama.

CREC merupakan antara firma kejuruteraan dan pembinaan terbesar di dunia, dan juga mempunyai perniagaan, antara lain, dalam industri pembuatan, pembangunan hartanah, dan sumber-sumber serta produk mineral.

Setakat 2015, syarikat itu berada pada kedudukan ke-71 dalam Fortune 500.

Ini dengan perolehan CREC melebihi USD100 bilion setahun.