iflix, penyedia perkhidmatan TV Internet utama Asia Tenggara, mengumumkan pelantikan tiga pegawai kanan dalam pasukannya sebagai persediaan syarikat memperluaskan perkhidmatannya bertaraf dunia ke pasaran baharu di luar Asia Tenggara.

Christian Toksvig menyertai iflix sebagai Ketua Pembangunan Perniagaan Antarabangsa.

Sebelum ini beliau memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif StockUnlimited dan telah melancarkan serta mengembangkan empat jenama media global meliputi lima benua.

Menurut iflix dalam satu kenyataan hari ini, sebelum berkhidmat dengan StockUnlimited, Toksvig merupakan Ketua Pembangunan Perniagaan Antarabangsa di Getty Images, yang bertanggungjawab memperluaskan kewujudkan syarikat di pasaran media pesat membangun utama seperti China, Brazil dan Timur Tengah.

Sementara itu, Nader Sobhan mneyertai iflix sebagai Ketua Timur Tengah dan Afrika Utara.

Beliau menubuhkan Iktomi, yang mempunyai operasi di Dubai, Barcelona dan Bangkok.

Sobhan juga sebelum ini mengetuai perancangan strategik direktorat digital di MBC, penyiar siaran percuma utama di dunia Arab.

"Melalui pengalaman luas beliau dalam produk digital dan hiburan penyiaran di Timur Tengah dan Afrika Utara, Sobhan akan menjadi pemacu di sebalik pengembangan syarikat ke rantau itu," kata iflix.

Andre De Wet menyertai iflix sebagai Ketua Afrika.

Pengalaman luas beliau dalam pengurusan, pemasaran, strategi dan pembangunan perniagaan dalam ekonomi pesat membangun dan maju akan penting dalam memacu kejayaan syarikat di Afrika.