IKEA Malaysia bakal membuka cawangan terbaharu gedung di Johor Bahru menjelang akhir 2017.

Terletak berhampiran Jalan Desa Tebrau, Johor Bahru, gedung ini adalah cawangan pertamanya di wilayah selatan Semenanjung Malaysia.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, IKEA berkata fasa pertama proses pengambilan tenaga kerja akan dimulakan.

Ia terdiri daripada lebih 50 jawatan, termasuk jawatan bagi melengkapkan pasukan pengurusan gedung tersebut.

Antaranya termasuk jawatan Pengurus Gedung serta pengurus dan penolong pengurus untuk Jualan, Komunikasi dan Hiasan Dalaman, Sumber Manusia, Kelestarian, Restoran, Logistik dan banyak lagi.

Pengarah Peruncitan, IKEA Malaysia, Singapura dan Thailand Mike King berkata pembukaan gedung cawangan ini merupakan sebahagian daripada cita-cita menyeluruh IKEA bagi mengembangkan perniagaannya di Asia Tenggara.

“Gedung ini mencerminkan komitmen kami bagi menyedia dan menawar kelengkapan rumah ala Sweden yang berfungsi dan mampu dimiliki oleh orang ramai.

“Kami menjemput warga Malaysia untuk menyertai pasukan yang dapat membantu usaha merintis ke arah pengendalian gedung baharu ini,” kata Mike.

Tambahnya, persekitaran tempat kerja IKEA di Malaysia dan di seluruh dunia berbeza berbanding dengan kebanyakan persekitaran peruncitan yang lain.

“Jenama kami mantap dan berjaya, namun sikap rendah diri merupakan pendekatan utama kami serta warga kerja yang sentiasa ceria pada setiap hari, dalam persekitaran pejabat yang terbuka dan lengkap.

“Ketua-ketua kami menikmati kebebasan yang cukup memuaskan dalam memikul tanggung jawab masing-masing. Kami menawarkan pakej ganjaran yang kompetitif – termasuk satu pelan insentif, faedah perubatan, diskaun untuk kakitangan dan peluang untuk belajar dan membangun,” katanya.

Jelas Mike, beliau percaya pengembangan sesebuah perniagaan adalah sejajar dengan kemajuan modal insan.

“Kami ingin berganding bahu dengan para individu yang merendah diri dan amanah yang sanggup berkongsi minat untuk mencipta kehidupan lebih baik untuk orang ramai,” katanya.

Untuk memohon atau mengetahui lebih lanjut tentang peluang pekerjaan di gedung cawangan baru IKEA di Johor Bahru, sila layari IKEA.my/jobs