Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) memuji strategi negara pasaran membangun, terutama Malaysia, dalam berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

Menurut Timbalan Pengarah Urusan 1 IMF David Lipton dalam satu sesi dialog di Universiti Malaya baru-baru ini, keupayaan ini diperkukuhkan lagi dengan kecekapan bank pusat.

Kata Lipton, pasaran membangun ketika ini berdepan cabaran susulan pemulihan perlahan ekonomi maju termasuk Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat.

Tambahnya, keputusan proaktif yang diambil Malaysia seperti menyemak Bajet 2015 adalah bukti kecekapan negara dalam berdepan perubahan dalam ekonomi global seperti kejatuhan harga minyak.

Mengulas mengenai aliran modal keluar susulan pemulihan di AS, Lipton berkata negara perlu bersedia dengan strategi antaranya kadar tukaran mata wang yang lebih fleksibel.

Beliau menyatakan sukar untuk melihat sama ada akan wujud peralihan modal yang ekstrem dengan jangkaan normalisasi kadar faedah di AS.

Namun pada masa sama, imbangan akan berlaku dengan jangkaan dana dari Eropah memasuki negara pasaran membangun.

Lipton turut menyatakan keputusan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan, GST dan pengurangan subsidi minyak akan membantu melindungi bajet Malaysia di tengah kejatuhan harga minyak global.

Antara isu lain yang dibincangkan dalam dialog yang dihadiri pelajar, sektor swasta dan awam di UM adalah pengurusan baik ekonomi Malaysia dan isu ketidaksamarataan.