Nota Kewangan Islam Jangka Sederhana Jaminan Kerajaan (IMTN) terbitan SME Bank dibida lebih 4.5 kali ganda atau RM2.2 bilion daripada jumlah terbitan sebenar berjumlah RM500 juta pada 16 April lalu.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata ia sekali gus menunjukkan keyakinan yang tinggi oleh pelabur dalam negara terhadap prestasi kewangan, kehadiran dalam pasaran dan peranan penting yang dimainkan SME Bank dalam membimbing dan membangunkan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Penerbitan sukuk bernilai RM500 juta ini telah menarik minat para pemain institusi kewangan dan syarikat pengurusan dana atau aset.

“Walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dengan turun naik pasaran kewangan yang tinggi, rundingan ini telah berjaya ditutup dengan harga 23 mata asas bagi tempoh lima tahun dan 20 mata asas bagi tempoh tujuh tahun.

“IMTN tersebut juga telah diletakkan dengan harga akhir yang kompetitif di antara 3.02 peratus hingga 3.30 peratus,” kata Aria dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam perkembangan lain, beliau juga berkata SME Bank telah melaksanakan beberapa inisiatif, seiring dengan langkah kerajaan dalam Pelan Rangsangan Ekonomi bagi membantu menyokong kelangsungan sektor PKS dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga berakhirnya krisis COVID-19 di negara ini.

Katanya, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk penangguhan secara automatik pembayaran pembiayaan selain menawarkan beberapa pakej pembiayaan di bawah dana Bank Negara Malaysia.

“SME Bank turut menawarkan beberapa pakej pembiayaan di bawah dana Bank Negara Malaysia seperti Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Kemudahan Automasi dan Digital (ADF), Kemudahan Agromakanan (AF) dan Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES).

“Usaha ini adalah untuk memastikan PKS dapat menguruskan aliran tunai mereka dengan lebih baik dan bersedia sepenuhnya menghadapi cabaran ketika krisis COVID-19 berakhir,” katanya.

Tambahnya, anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) turut berkongsi tips dan informasi secara dalam talian bagi membantu dan membimbing usahawan untuk menilai kembali model perniagaan sedia ada serta membuat pembaharuan agar prestasi perniagaan daapat dikekalkan, terutama dalam berdepan dengan krisis.