INDIA disasar mencatatkan pertumbuhan kukuh untuk 10 tahun akan datang dan dijangka mengatasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal Jepun pada 2028, sekali gus menjadi ekonomi ketiga terbesar dunia.

Ekonomi negara Asia Selatan itu ketika ini sudah melepasi Brazil dan Rusia dan bakal mengatasi Perancis dan Britain sebagai ekonomi kelima terbesar dunia pada 2019.

Dapatan berkenaan diperoleh menerusi laporan terbaharu yang diterbitkan Merrill Lynch semalam.

Menerusi laporan itu, ekonomi India dijangka berkembang 10 peratus setiap tahun, selama 10 tahun.

Ia berbanding Jepun yang disasar berkembang pada kadar 1.6 peratus.

Secara konservatifnya pula, KDNK sebenar India boleh berkembang tujuh peratus.

Bergerak ke hadapan, ekonomi India akan dipacu oleh kematangan kewangan dan peningkatan pendapatan dalam kalangan rakyatnya.