KUALA LUMPUR:Industri kreatif digital menarik pelaburan sekitar RM1.06 bilion dari luar negara untuk tempoh 2013 hingga 2020 dan dilihat akan terus menjadi penyumbang penting kepada ekonomi digital negara.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Shakib Ahmad Shakir berkata Malaysia mempunyai bakat untuk memenuhi pasaran industri animasi dan kesan khas yang dianggarkan bernilai RM40.74 bilion.

“Kami tahu bahawa secara keseluruhan kami membincangkan industri yang berkaitan dengan seni digital, animasi dan kesan khas.

“Ia merupakan pasaran yang cukup besar dan saya difahamkan bahawa ia dianggarkan bernilai AS$10 bilion (RM40.74 bilion).

“Kami perlu menerokainya dan kami sudah mempunyai bakat di sini. Kami bukan sahaja membantu produksi Star Wars dan The Mandalorian, tetapi kami telah melakukannya sejak 2013. Dan jumlah pelaburan yang kami peroleh dari luar negara mencecah sekitar RM1.06 bilion,” katanya pada sidang media secara maya pada Khamis.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata bakat tempatan sudah terlibat dalam beberapa produksi antarabangsa seperti Crazy Rich Asians, 6 Underground dan The Ghost Bride.

Terbaharu, beliau berkata lebih 100 bakat tempatan terlibat dalam produksi The Mandalorian dan Star Wars: The Rise of Skywalker (Episode IX).

Katanya, produksi luar negara terus tertarik dengan bakat tempatan kerana Malaysia mampu memberikan keyakinan menerusi perjanjian yang perinciannya tidak boleh didedahkan.

“Sekarang, ia mustahak untuk memastikan pelaburan mereka dengan kami. Kami perlu melakukannya dengan senyap dan hanya di belakang tabir.

“Sejurus ia ditetapkan, kami boleh mengumumkan produksi mana yang telah dilakukan di Malaysia.

“Saya percaya, itu pengaturan komersial yang dilakukan sekarang,” katanya lagi.