Tawaran kapasiti penumpang yang berlebihan memungkinkan kesemua syarikat penerbangan yang beroperasi di negara ini gulung tikar. Menurut bekas Pengarah Urusan Malaysia Airlines (MAS), Tan Sri Dato Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, kadar pertumbuhan penumpang adalah sangat kecil berbanding kapasiti yang ditawarkan industri penerbangan di Malaysia. Menurut Abdul Aziz, ia berdasarkan pemberian lesen untuk penerbangan domestik baru seperti Malindo Air.

“MAS sendiri mampu menawarkan harga tambang murah dengan prasarana dan kepakaran yang dimiliki sejak ia beroperasi 1972. Pemberian lesen baru hanya mengakibatkan kesemua syarikat penerbangan bersaing dengan cara tidak sihat. Pertambahan kekerapan laluan penerbangan sekaligus meningkatkan kapasiti penumpang walaupun pertumbuhannya berada pada tahap kecil,” kata Abdul Aziz kepada Astro Awani.

Menurutnya, keadaan tersebut menyebabkan syarikat penerbangan berlumba-lumba menawarkan tiket pada harga rendah melampau sehingga di bawah kos sekaligus gagal menampung kos operasi.

Abdul Aziz berkata demikian ekoran desakan Kesatuan Pekerja-pekerja Sistem Penerbangan MAS (MASEU) yang meminta kerajaan campur tangan dalam pentadbiran MAS. MASEU meminta supaya kepimpinan baru yang arif dalam industri penerbangan lantik bagi memperbaiki kelemahannya.

MASEU mendakwa kemelut yang berterusan menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kerugian besar pada 2011 dengan jumlah kerugian RM2.52 bilion. Reputasi itu sekaligus menjejaskan MAS sebagai syarikat penerbangan ulung negara yang beroperasi sejak 40 tahun lalu.

Menurut Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja-pekerja Sistem Penerbangan MASEU, Mohd Jabarullah Abdul Kadir, "Sebagai sebuah kesatuan di bawah MAS, kami bimbang dan tidak lagi boleh berpeluk tubuh melihat perkembangan ini. Kerugian yang dialami MAS termasuk krisis lain seperti khabar angin pemecatan kakitangan, amat mendukacitakan dan memerlukan tindakan drastik serta campur tangan segera daripada kerajaan."

Tambahnya, banyak pihak yang kurang jelas dengan krisis yang membelenggu dan menuding jari kepada MASEU. "Kami mahu pengurusan yang boleh atur strategi terbaik untuk MAS, keadaan sekarang kami tidak nampak apa-apa yang besar dalam industri penerbangan MAS. Kerana itu MAS perlu mengambil kepimpinan yang berpengetahuan luas dalam bidang penerbangan, bukan orang luar yang tiada latar belakang industri ini dan hanya belajar mengenai industri selepas dilantik dalam MAS. Jika tidak, MAS boleh ketinggalan.” Jabarullah ditemui sewaktu sidang media khas maseu di ibu pejabat MASEU, Subang Jaya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung MASEU, Ab. Malek Ariff berkata, kesatuan itu yang mewakili 15,000 kakitangan MAS merayu kerajaan memberi perhatian serius berhubung isu pelantikan pengurusan baru. Katanya, tindakan segera akan menyelamatkan syarikat itu daripada terus berdepan masalah dan kerugian lebih besar.

Isu pengurusan MAS timbul setelah terdapat ura-ura penggabungan syarikat itu dengan syarikat penerbangan tambang murah, Air Asia. Namun ia dibatalkan berikutan bantahan pelbagai pihak.