Berita  | Bisnes

Ini 6 langkah kerajaan pastikan hutang terkawal, terurus

Ini 6 langkah kerajaan pastikan hutang terkawal, terurus
Selain kajian semula projek infrastruktur mega mahal, kerajaan turut melakukan pembiayaan semula pinjaman dengan kadar yang lebih rendah. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan menggariskan enam langkah dalam memastikan paras hutang Kerajaan Persekutuan kekal terkawal dan terurus.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata selain kajian semula projek infrastruktur mega mahal, kerajaan turut melakukan pembiayaan semula pinjaman dengan kadar yang lebih rendah (refinancing).

Berikut enam langkah tersebut:

1. Projek infrastruktur mega mahal seperti High Speed Rail (HSR), Mass Rapid Transit (MRT) dan East Coast Rail Link (ECRL) sedang dikaji semula bagi meneliti struktur kos keperluan dan keutamaan projek serta memastikan keupayaan Kerajaan dalam membiayai serta membayar balik pinjaman yang dibuat;
2. Bagi projek yang sedang dilaksanakan, keseluruhan kos projek sedang dikaji semula untuk mengelakkan Kerajaan dicaj kos yang tidak berpatutan;

3. Mengkaji semula projek-projek yang melibatkan kos yang tinggi berdasarkan keperluan bagi mendapatkan kos yang lebih rendah;

4. Menyediakan peruntukan tahunan di bawah perbelanjaan mengurus bagi memastikan bayaran pokok dan faedah dapat dibuat mengikut tempoh masa yang ditetapkan;

5. Membiayai semula sebahagian daripada pinjaman pada kadar yang lebih rendah (refinancing); dan

6. Memastikan pertumbuhan ekonomi yang kukuh, termasuk sektor kreativiti dan inovasi, untuk memperbanyakkan sumber kewangan kerajaan.

Tambah beliau, kepatuhan yang tegas terhadap disiplin fiskal serta pengurusan hutang yang baik akan terus diberi penekanan bagi memastikan kedudukan fiskal dan makroekonomi kekal kukuh serta dapat menampung sebarang krisis.

"Teras utama menangani hutang RM1.087 trillion kerajaan Persekutuan ialah kebertanggungjawaban fiskal agar meyakinkan para pelabur dan pasaran modal bahawa kerajaan Persekutuan masih ada ruang dasar fiskal and kewangan," katanya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan langkah-langkah yang dirancang untuk menghadapi masalah hutang dan liabiliti sejumlah RM1.087 trilion.