SELEPAS mencecah paras tertinggi sehingga AS$20,000 (RM78,000) enam minggu lalu, harga Bitcoin terus menjunam kepada AS$7,000 pada Isnin.

Kedudukan ini merupakan paras terendah yang pernah dicatatkan sejak November 2017 dan ia disumbangkan dengan peraturan yang lebih ketat khususnya di China dan India.

Menurut portal CoinMarketCap, dagangan mata wang digital terbabit didagangkan 16 peratus lebih rendah pada 19:30 GMT.

Bank Pusat China dilaporkan akan 'mengetatkan peraturan' terutamanya penyertaan rakyat China dalam transaksi wang kripto luar negara.

Mengikut laporan South China Morning Post, pihak berkuasa China telah mengetatkan transaksi luar negara serta proses kawal selia diteruskan.

"Risikonya masih ada, ini didorong oleh penerbitan dana haram serta jualan piramid," lapor portal berkenaan.

Minggu lalu, India yang menyumbang kira-kira 10 peratus daripada semua urus niaga Bitcoin dunia telah mengambil segala langkah untuk menghapuskan penggunaan aset matawang kripto.

Selain daripada langkah kawal selia yang semakin ketat di seluruh dunia, keputusan bank-bank utama untuk mengharamkan penggunaan kad kredit bagi pembelian wang kripto turut menyumbang kepada harga pasaran.