Inovasi perniagaan, sama ada suka atau tidak, perlu dilaksanakan mengikut cabaran teknologi, globalisasi serta urbanisasi, kesan daripada perkembangan ekonomi, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani.

Beliau memberi contoh inovasi perniagaan seperti Uber, Skype, Spotify dan Ali Baba yang semakin berkembang di peringkat global.

"Ini secara tidak langsung menjadikan teknologi digital melalui peranti mudah alih, jaringan sosial dan pengkomputeran awan serta teknologi lain, mengubah hubungan antara perniagaan dan pelanggan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada mesyuarat agung tahunan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), pada Sabtu.

Seiring dengan itu, Johari berkata kerajaan mengumumkan 2017 sebagai Tahun Ekonomi Internet untuk Malaysia.

"Ini harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh usahawan bumiputera untuk menjadikan penggunaan Internet sebagai peluang pasaran baharu, yang lebih menguntungkan dan menjimatkan, untuk diteroka," katanya.

Jelasnya, kerajaan dalam Bajet 2017 menyediakan peruntukan kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sebanyak RM162 juta bagi melaksanakan program digital seperti ekosistem e-dagang dan 'Digital Maker Movement'.

Kerajaan turut menyediakan RM1 bilion bagi perkhidmatan jalur lebar talian tetap yang lebih kompetitif dan meluaskan liputan di samping kualiti jalur lebar sehingga 200 megabit sesaat (Mbps) di seluruh negara.

Johari juga menekankan perlunya langkah drastik dan kerjasama semua pihak untuk merancakkan penyertaan bumiputera dalam bidang usahawan dan membawa syarikat mereka yang kini di peringkat mikro kepada peringkat lebih tinggi hingga ke pasaran antarabangsa.

Katanya, statistik menunjukkan penyertaan bumiputera dalam syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih kecil iaitu 37.5 peratus dan menguasai 90.7 peratus dalam perusahaan mikro sahaja.

"Dari segi pemilikan sijil halal, 39.5 peratus adalah dari syarikat bumiputera manakala 60.5 peratus adalah syarikat bukan bumiputera.

"Manakala dianggarkan 14 peratus daripada nilai eksport pada 2015 adalah dari syarikat bumiputera manakala selebihnya adalah syarikat bukan bumiputera," kata Johari. - BERNAMA