Invest Selangor Bhd. (Invest Selangor) optimis lebih banyak pelaburan dari negara luar akan disalurkan ke pasaran domestik susulan ramai pelabur asing mula beralih dari China ke negara lain termasuk Malaysia berikutan penularan wabak COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana, Datuk Teng Chang Khim berkata, keyakinan tersebut berdasarkan persepsi negatif dunia terhadap kredibiliti China sebagai negara pengilang terbesar selepas insiden penularan berkenaan.

“Ketika ini kami menerima banyak pelabur yang menyatakan minat untuk meneroka peluang-peluang dalam sektor pengilangan di pasaran Asia Tenggara. Justeru itu, kami berharap dapat menarik lebih banyak syarikat-syarikat yang khusus untuk melabur di Selangor.

“Bagaimanapun, mereka tetap perlu mengikuti segala undang-undang, polisi dan standard yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Selain itu, terdapat dua kluster yang mempunyai peluang penerokaan positif di Selangor termasuk sektor elektrik dan elektronik serta farmaseutikal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) dan International Muslim Friendly Affiliated Network (IMFAN) dekat sini sebentar tadi.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Datuk Hassan Azhari Idris.

Dalam pada itu, Chang Kim berkata, pihaknya tidak berhasrat untuk mengkaji semula sasaran pelaburan sebanyak RM12 bilion pada tahun ini meskipun, berhadapan dengan situasi panik COVID-19 dan kemelut politik negara ketika ini.

“Kami menjangkakan suku pertama yang agak lembap berikutan impak daripada faktor situasi semasa, bagaimanapun akan beri sedikit masa sebelum membuat kajian semula terhadap sasaran yang dibuat sebelum ini.

“Tidak hanya Selangor mahupun Malaysia sahaja yang terkesan dengan situasi ini, ekonomi dunia keseluruhan turut menerima impak sama. Kami juga tidak dapat membuat sebarang jangkaan dalam masa terdekat termasuk menyusun strategi untuk memulihkannya,” ujarnya.

Laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menunjukkan, Selangor mencatatkan pelaburan sebanyak RM16.4 bilion dalam sektor pembuatan sepanjang tempoh antara Januari dan September lalu.