Institut Pegajian Tinggi Awam (IPTA) Negara perlu mencari sumber dan peruntukan mereka sendiri, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Ini kerana kata Idris, IPTA di Malaysia terlalu bergantung kepada sumber dana kerajaan berbanding pusat pengajian di luar negara,.

Justeru beliau menggesa IPTA-IPTA terlibat untuk mencari sumber dana peruntukan sendiri yang secara tidak langsung dapat membantu mengunjur ekonomi negara yang kini berada pada tahap yang kurang stabil.

"Universiti di Malaysia terlalu bergantung kepada kerajaan hinggakan ada sesetengah itu, lebih 90 peratus bergantung kepada kerajaan berbanding dengan universiti luar negara," tegasnya selepas merasmikan Program Usahasama Low Carbon Transport Research antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Emprial College London di sini hari ini.

Sambil memberi contoh Universiti Thamasad Thailand yang hanya bergantung 30 peratus kepada kerjaan, Idris berkata Universiti Malaya antara universiti yang hebat di Malaysia juga banyak bergantung kepada kerajaan dengan hampir 80 peratus.

Ia secara tidak langsung menjadi cabaran kepada IPTA-IPTA terlibat untuk bergerak aktif mencari sumber pendapatan mereka sendiri.

"Pihak universiti perlu pandai mencari kewangan mereka sendiri dan kita terpkasa potong bajet kita sedikit.

"Jadi inilah yang berlaku dalam pembentangan bajet kita baru-baru ini, kita mahu lihat bagaimana universiti mencari sumber mereka sendiri," katanya lagi bagi mengulas mengenai bajet kepada pengajian tinggi yang dikurangkan berbanding tahun lalu.

Dalam Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuj Seri Najib Razak Jumaat lalu menyaksikan Universiti Malaya paling banyak menerima potongan dalam pembiyaan iaitu, RM175 juta atau 27.3 peratus.

Sementara Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Teknologi MARA dan Universiti Malaysia Terengganu, peruntukan masing-masing dipotong lebih 20 peratus.

Bajet bagi 11 IPTA lain pula dikurangkan antara 10 dan 20 peratus, manakala empat lagi IPTA peruntukan dikurangkan sehingga 10 peratus berbanding peruntukan sebelum ini.

Dalam pembentangan bajet itu, peruntukan bagi Kementerian Pendidikan Tinggi berkurangan daripada RM15.78 bilion pada 2015 kepada RM13.37 bilion untuk 2016.