Pembangunan infrastruktur di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (ISG) termasuk pembinaan landasan kedua dan peluasan bangunan terminal mampu meningkatkan kapasiti sehingga 65 juta penumpang menjelang tahun 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Istanbul Sabiha Gokcen International Airport Investment Development and Operation Inc, Ersel Goral berkata, peningkatan kapasiti pada lapangan terbang milik Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) itu selari dengan pengoperasian baharu bermula hujung tahun hadapan.

"Pembangunan landasan kedua yang dijangka siap hujung tahun depan akan meningkatkan kapasiti trafik udara dua kali ganda daripada 40 pesawat setiap jam kepada 80 pesawat setiap jam.

"Ini sekali gus memerlukan peluasan balai pelepasan yang akan meningkatkan kapasiti kepada 41 juta penumpang setahun berbanding 33 juta setakat ini.

"Seterusnya, pembangunan terminal kedua yang akan mula dibina pada 2020, membolehkan ISG menampung 65 juta penumpang," katanya kepada media sempena lawatan ke ISG hari ini.

Setakat ini, 53 syarikat penerbangan dari seluruh dunia termasuk Qatar Airways, Turkish Airlines dan Pegasus Airlines beroperasi terbang ke ISG. Ia merentasi lebih 217 destinasi antarabangsa.


Dalam pada itu, jelas Goral, sejak 2006 Lapangan Terbang ISG telah menyaksikan pertumbuhan daripada 3.8 juta kepada 29.7 juta penumpang dalam tempoh 10 tahun.

Katanya, pihaknya juga yakin akan mencapai aliran 31.2 juta penumpang tahun ini iaitu peningkatan lima peratus berbanding tahun lepas.

"Tahun depan, kami menjangkakan trafik ketibaan penumpang meningkat secara berperingkat-peringkat bermula lapan peratus, 10 dan 20 peratus hingga tahun 2022," katanya.


Selain itu, Garol berkata, pengoperasian lapangan terbang terbaharu iaitu Istanbul Grand Airport, yang bakal menggantikan Lapangan Terbang Antarabangsa Atartuk tahun depan akan turut menyumbang kepada peningkatan penumpang di Lapangan Terbang ISG.

Kata beliau, perkata itu berkemungkinan didorong oleh lokasi baharu Istabul Grand Airport yang terletak 55 kilometer dari pusat bandar Istanbul berbanding lokasi Lapangan Terbang ISG hanya 40km.

"Selain lebih dekat dengan pusat bandar Istanbul, lokasi Lapangan Terbang ISG juga berhampiran dengan zon perindustrian, pusat kewangan, dan ibu pejabat pusat perbankan,” katanya.

Setakat ini, 53 syarikat penerbangan dari seluruh dunia termasuk Qatar Airways, Turkish Airlines dan Pegasus Airlines beroperasi terbang ke ISG. Ia merentasi lebih 217 destinasi antarabangsa.

Goral turut memaklumkan syarikat penerbangan Emirates akan kembali terbang ke ISG dari Dubai setiap hari, bermula April 2018.

Katanya lagi, syarikat itu juga dalam perbincangan bersama tiga syarikat penerbangan lain untuk memulakan penerbangan ke ISG tahun depan.