Iskandar Malaysia mencatatkan pelaburan sebanyak RM19.8 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, meraih pelaburan komited kumulatif sejak 2006 kepada RM272.90 bilion.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Ismail Ibrahim berkata walaupun dengan cabaran global semasa, Iskandar Malaysia optimis dan dijangka mencapai sasaran pelaburan bagi 2018.

"Iskandar Malaysia melalui fasa pembangunan ketiga (2016 - 2025) yang menumpukan kepada kemampanan dan inovasi, aliran masuk pelaburan di wilayah itu daripada pelabur asing dan domestik terus meningkat," katanya.

Ismail berkata pada suku ketiga tahun ini, lima sektor utama yang menyumbang kepada jumlah pelaburan itu ialah pembangunan bercampur dengan RM9.7 bilion, logistik (RM670 juta), kreatif (RM540 juta), pendidikan (RM540 juta) dan pelancongan (RM320 juta).

Beliau berkata pelaburan terkini dalam sektor yang digalakkan di Iskandar Malaysia termasuk Shattuck St Mary's Forest City International School oleh Country Garden Pacificview Sdn Bhd, Pusat Kanser Tunku Laksamana oleh Asian American Medical Group dan Toppen Shopping Centre oleh IKEA Southeast Asia.

Daripada jumlah pelaburan komited dari 2006 hingga Sept 2018, sebanyak 59 peratus atau RM161.33 bilion telah direalisasikan. Sebanyak RM20.8 bilion direalisasikan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini sahaja, katanya.

"Pelabur domestik menyumbang 60 peratus kepada jumlah pelaburan komited atau bersamaan dengan RM164.9 bilion dan 40 peratus lagi, atau RM108 bilion, daripada pelabur asing. Lima negara utama yang melabur di wilayah (Iskandar) ialah China, Singapura, Amerika Syarikat, Jepun dan Sepanyol.

"Daripada jumlah pelaburan asing, sebanyak 57 peratus dalam sektor perkhidmatan dan 43 peratus dalam pembuatan. Aliran masuk pelaburan ini akan terus memberi manfaat kepada rakyat dalam pelbagai cara, seperti lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan," kata Ismail.

Beliau berkata ini dapat dilihat daripada Pameran Pekerjaan Iskandar Malaysia baru-baru ini, apabila lebih 1,000 pekerjaan ditawarkan di wilayah itu, dan lebih 740,000 pekerjaan telah diwujudkan di Iskandar Malaysia sejak 2006.

-- BERNAMA