Pengurusan MARA Digital di Anggerik Mall perlu lebih aktif mempromosikan barangan jualan mereka, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata berdasarkan lawatannya ke pusat itu baru-baru ini, pengurusan MARA Digital perlu meningkatkan promosi bagi menarik lebih ramai pengunjung.

"Sejak dibuka pada Julai tahun lepas, MARA Digital di sini hanya mencatatkan jualan sebanyak RM2.2 juta.

"Saya melawat MARA Digital di sini baru-baru ini dan kelemahan ketara yang dapat dilihat ialah kurangnya promosi," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Pelajar Tahun Akhir Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UITM) di sini hari ini.

MARA Digital Anggerik Mall merupakan cawangan kedua selepas pusat pertama dibuka di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Katanya, sebanyak lima lagi cawangan MARA Digital akan dibuka di seluruh negara iaitu di Johor, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang menjelang Jun. -- Bernama