Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengesahkan Tan Sri Ismee Ismail akan dilantik sebagai pengerusi baharu Media Prima Bhd.

Salleh, yang juga Bendahari UMNO, berkata demikian kepada Bernama ketika diminta mengulas spekulasi mengenai perubahan yang akan berlaku dalam pucuk pimpinan Media Prima berikutan pelantikan Ismee baru-baru ini sebagai ahli lembaga bebas syarikat itu, kumpulan media terbesar di Malaysia.

Media Prima adalah sebuah kumpulan pelaburan media bersepadu terkemuka yang mempunyai kepentingan ekuiti di stesen televisyen, akhbar, stesen radio, penciptaan kandungan dan media digital.

Stesen televisyen di mana syarikat itu mempunyai kepentingan termasuk TV3, 8TV, ntv7 dan TV9.

Media Prima memiliki 98 peratus kepentingan ekuiti dalam The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP), yang menerbitkan the New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro.

-- BERNAMA