Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengecam tindakan sesetengah pihak yang menggembar-gemburkan hasil laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, pihak tidak bertanggungjawab ini mengamalkan prinsip 'matlamat menghalalkan cara' untuk menggulingkan kerajaan.

“Laporan tersebut sudah membuktikan bahawa dakwaan sesetengah pihak yang berkata RM42 bilion hilang, adalah salah sama sekali,” katanya.
Laporan sudah buktikan bahawa dakwaan sesetengah pihak yang berkata RM42 bilion hilang, salah sama sekali.

Kata beliau, gara-gara tindakan ini, nama Malaysia telah dicemarkan secara tidak adil.

“Realitinya, 1MDB ada proses rasionalisasi yang berkesan. Sebahagian besar hutangnya telah pun dilangsaikan, termasuk pembayaran balik kemudahan kredit RM950 juta yang diberikan oleh kerajaan tahun lalu,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan juga mengambil perhatian terhadap semua cadangan yang dikemukakan PAC di dalam laporannya.

“Tindakan akan diambil sekiranya terdapat sebarang bukti salah laku yang dilakukan,” tegas Najib di forum Invest Malaysia 2016 di sini hari ini.

BACA: Di sebalik pelbagai cabaran, ekonomi Malaysia kekal berdaya saing - Najib

Najib sekali lagi mengulangi bahawa aset 1MDB benar-benar wujud, malah ia melebihi nilai hutangnya.
Tindakan akan diambil sekiranya terdapat sebarang bukti salah laku yang dilakukan.

Beliau turut yakin legasi 1MDB pada masa hadapan tidak akan dibentuk oleh dakwaan palsu dari pihak yang tidak bertanggungjawab kini.

Sebalik katanya, legasi 1MDB akan diingati menerusi pelbagai projeknya yang memanfaatkan negara seperti projek pembangunan Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia.

Khamis lalu, PAC mengeluarkan laporan kawalan pengurusan tadbir urus 1MDB setebal 106 muka surat.

Jawatankuasa itu antara lain mengesyorkan pihak berkuasa supaya menyiasat bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, dan pihak berkaitan dengan pengurusan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.