Dialog Axiata Plc, anak syarikat Axiata Group Bhd dari Malaysia yang beroperasi sebagai sebuah syarikat telekomunikasi terbesar di Sri Lanka, kini mempunyai peluang cerah untuk membuat pelaburan tambahan berjumlah kira-kira AS$300 juta di negara itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ini berikutan isu penangguhan pembaharuan lesen oleh kerajaan Sri Lanka sejak 2015, dijangka dapat diselesaikan secara rundingan antara kerajaan dengan kerajaan.

Beliau berkata masalah pelesenan Dialog Axiata telah dibangkitkan dalam perbincangan dengan Presiden Maithripala Sirisena hari ini dan ketua negara itu telah meminta sebuah jawatankuasa khas dibentuk yang diwakili oleh wakil dari kedua-dua negara sebagai mekanisme untuk menyelesaikan masalah itu dalam masa terdekat.

"Saya melihat ini sebagai satu perkembangan positif. Saya balik nanti kita akan putuskan setelah mendapat pandangan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (mengenai) siapa yang sesuai untuk dilantik (sebagai wakil). Mudah-mudahan, kita dapat selesai dalam masa tidak lama lagi," katanya kepada wartawan Malaysia pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, Axiata mempunyai kemampuan untuk meningkatkan pelaburan mereka di negara itu.

Najib berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Presiden dan Ketua Eksekutif Axiata Group Bhd Tan Sri Jamaludin Ibrahim.

Dialog Axiata adalah syarikat pelaburan asing terbesar di Sri Lanka dengan jumlah pelaburan melebihi AS$2.2 bilion.

Awal hari ini, Najib mengadakan pertemuan empat mata dengan Sirisena di Istana Presiden sempena lawatan rasminya selama tiga hari ke Sri Lanka yang bermula semalam.

Kedua-dua pemimpin negara itu kemudiannya mengadakan rundingan meja bulat antara kerajaan dan syarikat swasta dan menyaksikan majlis menandatangani beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) di sini.

-- BERNAMA