Jerman, gergasi ekonomi Eropah, telah membeli lebih banyak produk dari Malaysia dalam 11 bulan pertama 2017 berbanding dengan tempoh yang sama pada 2016, menurut perangkaan yang disediakan oleh pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di sini.

Angka keseluruhan eksport Malaysia bagi 2017 masih belum diperolehi setakat awal Januari ini.

Eksport Malaysia ke Jerman pada Januari-November 2017 melonjak sebanyak 20.3 peratus kepada RM24.24 bilion (US$ 1 = RM4), berbanding dengan RM22.29 bilion dalam tempoh sama pada 2016.

Walaupun eksport Malaysia melonjak, import Malaysia dari Jerman juga bertambah iaitu kepada RM24.25 bilion daripada RM 23.78 bilion pada tempoh awal tahun.

Pejabat Matrade di Frankfurt bertanggungjawab ke atas urus niaga di Jerman, Perancis, Jerman dan Austria. Jerman serta Perancis merupakan rakan kongsi dagangan utama Malaysia dalam Kesatuan Eropah (EU).

Eksport Malaysia ke EU untuk sepanjang Januari-November 2017 adalah berjumlah RM86.9 bilion manakala import dari EU mencecah RM70.60 bilion.

Jumlah eksport global (Januari-November 2017) Malaysia menokok kepada RM856 bilion, naik sebanyak 20.4 peratus daripada RM786.96 bilion pada tempoh yang sama tahun 2016.

Angka import global Malaysia dalam tempoh Januari-November berjumlah RM766 bilion, bertambah sebanyak 21.2 peratus.

Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia, Badrul Hisham Hilal dalam satu temu ramah dengan Bernama di Heimtextil 2018, sebuah ekspo tekstil rumah yang terbesar di dunia, berkata produk elektronik dan elektrik terus menguasai eksport Malaysia, produk lain yang berpotensi ditingkatkan ialah produk-produk petroleum, produk kimia dan bahan kimia serta banyak lagi.

"Pengembangan dalam eksport global Malaysia juga berpunca daripada permintaan kukuh untuk produk kami di pasaran utama yang telah mencatat pertumbuhan pesat," kata Badrul.

Beliau berkata bahawa interaksi antara syarikat-syarikat Jerman dan Malaysia akan diperhebatkan pada bulan-bulan akan datang.

"Petanda kepada arah tujuan tersebut dicerminkan oleh pertambahan bilangan delegasi perniagaan yang akan melawat Jerman dan negara-negara yang terletak di bawah bidang kuasa Matrade Frankfurt," katanya.

Badrul berkata, satu delegasi yang terdiri daripada wakil-wakil syarikat yang membekalkan peralatan elektronik bagi industri kenderaan dijadualkan untuk melawat Jerman pada Mac depan.

"Kami sedang merancang butiran program lawatan dan rombongan tersebut akan melawat Frankfurt, Stuttgart dan Munich," katanya.

Pengeluar-pengeluar kereta Jerman, yang sudah pun mempunyai satu rantaian bekalan yang mantap, membuat penyumberan melalui pembekalan peringkat pertama, yang sebaliknya, membeli daripada pembekal luar negara, termasuk dari Malaysia, katanya.

Badrul berkata, delegasi ini akan menggunakan pendekatan yang berbeza ke atas pembeli Jerman.

Mereka akan menggantikan mesyuarat di hotel dengan acara di premis pelanggan, katanya.

Katanya, pameran perdagangan di Jerman juga menjadi alat terpenting bagi promosi eksport.

"Satu kontinjen pembekal produk industri dan alat ganti Malaysia yang besar akan menyertai Pameran Industri Hannover yang akan diadakan pada April.

"Kemudian dalam Jun depan, syarikat-syarikat Malaysia akan menyertai Power Gen di Vienna, Austria, satu acara yang difokuskan untuk industri penjanaan kuasa. Satu delegasi pengeluar makanan Malaysia yang besar juga akan mempamerkan produk mereka pada ekspo perniagaan makanan, Salon International de l'Agroalimentaire di Paris.

"Pameran MEDICA 2018 (peranti perubatan), yang akan diadakan dalam November di Dubai, juga bakal menyaksikan penyertaan lebih banyak syarikat Malaysia yang telah bersetuju untuk bernaung di bawah Pavilion Malaysia yang dibina khas. Semasa MEDICA 2017, sebuah syarikat Malaysia telah berjaya mendapat tempahan yang banyak, merangkumi 50 kontena peranti perubatan," katanya.

-- BERNAMA