Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani menemui Dewan Perniagaan Amerika Syarikat untuk membincangkan isu-isu yang timbul mengenai masa depan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan berkata pertemuan itu berlangsung pada Mesyuarat Musim Bunga Bank Dunia-Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) di Washington DC, Amerika Syarikat, yang bermula pada Khamis.

Turut dibincangkan keutamaan dasar Malaysia bagi pembangunan sektor kewangan yang berterusan.

Kementerian itu berkata Johari juga akan mengadakan pertemuan dengan tiga agensi penarafan antarabangsa untuk memberi penerangan kepada mereka mengenai pembangunan ekonomi dan kewangan semasa Malaysia, serta langkah-langkah yang diambil untuk menangani cabaran.

"Mereka akan diberi penerangan mengenai inisiatif yang sedang dilaksanakan untuk mengukuhkan kedudukan monetari dan fiskal negara," katanya.

Mesyuarat tersebut merupakan platform bagi penggubal dasar dari seluruh dunia berbincang dan bertukar pandangan mengenai isu-isu semasa yang memberi kesan kepada ekonomi global, sistem kewangan antarabangsa dan kemajuan agenda pembangunan global, termasuk mengurangkan jumlah kemiskinan.

Acara itu akan turut menekankan kemajuan aktiviti IMF dan Kumpulan Bank Dunia, termasuk dasar-dasar dan program yang dilaksanakan untuk membantu negara-negara anggota yang menghadapi masalah kewangan dan pembangunan.

-- BERNAMA