Kerajaan negeri Johor dijangka melancarkan dua projek khusus untuk usahawan Bumiputera dalam jangka masa terdekat bagi merancakkan lagi budaya keusahawanan dalam kalangan mereka.

Dua projek berkenaan ialah pembinaan 30 unit kilang industri kecil dan sederhana (IKS) di kawasan seluas 1.86 hektar yang melibatkan peruntukan sebanyak RM25 juta daripada Kementerian Kewangan.

Peruntukan itu disalurkan kepada kerajaan negeri menerusi SME Corporation dengan projek berlangsung di Kampung Pasir Gudang Baru, di sini manakala sebuah lagi projek ialah pembinaan Persada Annex di pusat bandaraya Johor Bahru yang menawarkan lebih 200 ruang niaga.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata bagi kilang IKS itu, Johor Corporation (JCorp) diamanahkan untuk membangunkannya di bawah Pelan Pelancaran 2 dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

"Apabila siap pada pertengahan 2018, ia akan disewakan kepada pengusaha-pengusaha Bumpitera. Kita bercadang mengadakan majlis pecah tanah di hadapan Kampung Pasir Gudang Baru pada Jun ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Gerak Usahawan Peringkat Negeri Johor 2017 bersempena Minggu PKS di Johor Circuit Pasir Gudang di sini, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Ismail Mohamed; Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Azmi Rohani; Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Noraini Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia Datuk Dr Hafsah Hashim dan Pengarah Eksekutif Pusat Pembangunan Usahawan (EDC) Johor Hahashrin Hashim.

Mengenai projek Persada Annex pula, Mohamed Khaled berkata majlis pecah tanah akan diadakan pada 16 Mei ini, di sebelah bangunan Pusat Konvesyen Antarabangsa (Persada) Johor, dengan membabitkan peruntukan sebanyak RM43 juta daripada JCorp.

Berhubung majlis itu, beliau menyarankan EDC agar mengkaji semula fungsi dan peranannya dalam menggerakkan serta membudayakan keusahawanan, selain menggesa masyarakat membetulkan beberapa salah tanggapan terhadap dunia keusahawanan.

-- BERNAMA