Johor Investment Company (JICO) akan ditubuhkan dengan segera bagi mengukuhkan ekonomi rakyat dan pelaburan negeri selepas pasca COVID-19, kata Menteri Besarnya Datuk Ir Hasni Mohammad.

Hasni berkata pejabat JICO akan berpangkalan di Singapura bagi memudahkan urusan kedua-dua negara terutama dalam sektor pelaburan dan budaya.

Beliau berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Wisma Putra, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan kedutaan Malaysia di Singapura.

Katanya, lokasi pejabat JICO di republik itu masih belum diputuskan namun ianya akan diuruskan oleh kakitangan kerajaan negeri.

"Selain daripada Digital Johor Blueprint, Johor Investment Company juga akan diwujudkan di negara jiran kita di Singapura.

"Ianya adalah bagi memudahcarakan hubungan perdagangan di antara Singapura dan Johor. Bagi menjayakan Johor Investment Company di Singapura, adalah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk melihat semula konsep pembangunan segi tiga Singapura, Indonesia dan Johor yang secara ringkasnya dinamakan SEJORI," katanya selepas perasmian sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar.

Jelas Hasni, Johor juga sedang dalam perancangan untuk mengembalikan dan memperkuatkan hubungan tiga segi antara negara menerusi Johor, Singapura dan Indonesia (SEJORI).

Katanya, secara dasar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyatakan persetujuan berkaitan SEJORI.

Menurut Hasni, perbincangan pertama antara tiga negara berhubung SEJORI akan dilaksanakan selepas hari raya dan ianya adalah titik penting Johor selepas pasca COVID-19.