Syarikat pengeluar cat, Jotun memperkenalkan tiga tema warna terbaharunya untuk pasaran tempatan bagi menampilkan rekaan yang berasaskan identiti bandar global.

Malaysia merupakan pasaran pertama di Asia Tenggara yang diketengahkan dengan tema City Motions, Silent Serenity dan Lush Garden.

Dengan tema Rhythm of Life edisi 2018, jenama cat terkenal ini membangunkan rangkaian warna yang mampu menepati kehendak pengguna.

Pengurus Jenama Jotun, Lee Yee Mei berkata, tema ini direka khas untuk menggambarkan kepelbagaian pilihan gaya hiasan dalaman yang mencerminkan identiti unik penduduk di bandar.

“Pelancaran Jotun Colour Trend 2018 memperkenalkan tiga tema warna iaitu City Motions, Silent Serenity dan Lush Garden yang dihasilkan melalui pelaburan masa dan kepakaran ahli-ahli Pasukan Warna yang dipimpin oleh Lisbeth Larsen, Pengurus Warna Global Jotun.

“Tema pertama, City Motions menarik inspirasi daripada kehidupan di bandar, yang kedua Silent Serenity diilhamkan oleh perjalanan ke padang pasir dan sudah tentu, tema terakhir, Lush Garden dipengaruhi oleh alam semula jadi,” kata beliau.

Sementara itu, Pengarah Pengurusan Jotun Malaysia dan Singapura, Eric Mallace, menjelaskan tema warna baru Jotun adalah selari dengan strategi perniagaan Jotun.

“Ia memang berkait rapat dengan pembangunan strategi Jotun yang menyediakan penyelesaian baru dan lebih baik kepada pasaran.

“Jadi, semua warna indah yang kita lihat adalah sebahagian daripada penyelidikan di mana kita memanfaatkan sumber daripada pereka fesyen, apa yang berlaku di pasaran, warna dan sebagainya.

“Anda akan melihat ciri-ciri itu semasa melawat hotel dan rumah.

“Ia benar-benar membantu dan selari dengan strategi inovasi dan pembangunan penyelikan Jotun,” jelas beliau.

Trend warna Global Jotun 2018: Rhythm of Life ditampilkan dengan 32 warna bagi membolehkan pereka dalaman mengetengahkan kehendak pemilik kediaman dengan lebih menarik.

Selepas ditubuhkan pada 1983, Jotun Paints (Malaysia) Sdn Bhd dibangunkan untuk meneroka pasaran penting bagi Kumpulan Jotun dan telah mencapai jualan berjumlah RM700 juta pada 2016.