Kadar dividen 5.70 peratus bagi 2016 yang diisytiharkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah cukup baik meskipun berdepan keadaan ekonomi global yang amat mencabar pada tahun lepas.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kebanyakan negara berdepan dengan pertumbuhan ekonomi yang perlahan, ketidaktentuan dan perubahan dasar serta kepimpinan di Eropah, Amerika Syarikat dan negara-negara lain pada 2016 yang membawa kesan kepada pelaburan global.

"Alhamdulillah, KWSP telah umumkan dividen sebanyak 5.7 peratus yang berjumlah RM37.08 bilion kepada pencarum bagi tahun 2016. Syabas kepada warga KWSP yang terus memastikan pulangan baik daripada pelaburan untuk manfaat hari tua pencarum," katanya dalam catatan terkini blog rasminya, hari ini.

Semalam, KWSP mengisytiharkan kadar dividen 5.70 peratus bagi 2016, dengan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM37.08 bilion.

Bagi 2016, amaun pendapatan yang diagihkan sebagai dividen adalah lebih tinggi daripada amaun yang diagihkan pada 2014 walaupun kadar dividen pada 2014 lebih tinggi pada 6.75 peratus.

-- BERNAMA