Kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak akan dikurangkan dalam Bajet 2017.

Menurut Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani, ini kerana GST merupakan salah satu polisi yang baru diperkenalkan.

Beliau berkata demikian apabila ditanya jika pengurangan kadar GST akan dilaksanakan untuk merangsang perbelanjaan domestik.

"Buat masa ini, kami tidak akan melakukan apa-apa perubahan dalam kadar GST. GST hanya diperkenalkan dua tahun lalu.

"Kami ingin sistem itu menjadi sebahagian daripada perbelanjaan pengguna. Oleh itu, tidak akan ada perubahan," kata Johari.

Dalam ucapannya, Johari berkata GST dan pelan rasionalisasi subsidi penting untuk memastikan defisit fiskal negara mencapai sasaran 3.1 peratus bagi tahun ini.

Katanya, ini terutamanya dalam menghadapi keadaan ekonomi yang mencabar dan untuk memastikan pengurangan berterusan defisit negara dalam tahun-tahun akan datang.

Johari turut berkata beliau yakin projek infrastruktur semasa seperti Aliran Transit Massa (MRT) akan merangsang aktiviti ekonomi Malaysia.