Buat tahun kedua, Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan dan Profesyen Malaysia (Peniagawati) menganjurkan misinya ke Minggu Fesyen New York yang bakal disertai 80 usahawan termasuk pereka fesyen tempatan.

Presidennya Datuk Azlin Ahmad Shaharbi berkata ini adalah kesinambungan usaha mempromosikan negara dan produk Malaysia ke Amerika Syarikat.

“Tahun lepas kita bawa pereka dalam skala yang kecil iaitu 40 usahawan dan hasilnya menyebabkan lebih ramai pereka fesyen yang mahu menyertai misi kita memperagakan jenama mereka ke New York untuk tahun ini.

"Ia dianjurkan sekali lagi atas permintaan ramai dan mencapai objektif kita bagi memperkenalkan produk buatan Malaysia,” jelasnya dalam satu sidang media hari ini.

Selain memperkenalkan 18 pereka fesyen dan usahawan tempatan di persada antarabangsa, misi dagangan ini juga akan disertai usahawan Malaysia yang membawa produk dari Malaysia bagi menerokai pasaran Amerika Syarikat.

Antara pereka fesyen yang akan menyertai pentas peragaan di New York tahun ini adalah Rizman Ruzaini, Fiziwoo, Adli Afandi, Yustie Majid dan ramai lagi.

Manakala antara usahawan yang akan turut memperagakan jenama masing-masing adalah pelakon dan penyanyi Nur Fazura, pelakon dan pengarah Erma Fatima, Datin Sharifah Shawati, Vie Shanti dan ramai lagi.

Peniagawati akan mengambil slot satu hari pada 7 September ini dalam acara Couture New York Fashion Week (CNYFW) yang akan berlangsung di Hotel Crowne Plaza Times Square dan sesi 'ready to wear' di pentas NYC@LIVE pada 13 September ini.

Misi dagangan ini juga dilaksanakan bersama rakan-rakan strategic iaitu Matrade, Tourism Malaysia dan Sarawak Tourism Board (STB).