Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2017 dijangka mencapai 5.8 peratus, lebih kukuh berbanding 4.2 peratus dicatatkan pada 2016, menurut Moody's Analytics.

Syarikat perkhidmatan kewangan itu berkata walaupun KDNK berkembang 6.2 peratus pada suku ketiga 2017, kadar terpantas sejak pertengahan 2014, pertumbuhan tersebut dijangka berkurangan kepada 5.8 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2017.

"Malaysia mencatat prestasi yang amat baik pada 2017 dan suku keempat akan meneruskan trend itu.

"Penggunaan isi rumah diunjur meningkat berikutan kadar faedah yang rendah dan limpahan daripada peningkatan yang berterusan dalam kitaran teknologi global, yang menaikkan pembuatan dan eksport," menurut laporan Moody's Analytics.

Penggunaan kerajaan akan mencatat sumbangan yang wajar kepada pertumbuhan KDNK pada suku pertama 2018, menjelang pilihan raya umum, yang dijadualkan sebelum Mei, katanya.

Bank Negara Malaysia akan mengeluarkan laporan KDNK suku keempat 2017 pada 14 Feb.

-- BERNAMA