Moody's Investors Service (Moody's) menyasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia mencecah 5.2 peratus pada 2018, dipacu rancangan projek infrastruktur besar-besaran yang dapat merangsang pelaburan awam dan swasta.

Ini turut didorong oleh persekitaran makroekonomi global dan serantau yang kukuh serta dapat menyokong pertumbuhan di Malaysia.

Malah, agensi penarafan antarabangsa itu berkata pandangan persekitaran kredit serantau dan global yang dijangka kukuh dalam masa terdekat itu turut dikongsi oleh 63 peratus peserta Persidangan Tahunan Keempat 'Inside ASEAN - Spotlight On Malaysia' yang diadakan pada 21 Mac lepas di Kuala Lumpur.

Kesimpulan Moody's itu disenaraikan dalam laporan terbaharu 'Cross-Sector -- Malaysia: Heard from the Market: Trade Restrictions, Tighter Funding Conditions are Top Risks.'

Peserta itu mewakili 23 institusi Malaysia dan antarabangsa yang mana 55 peratus daripadanya dikenal pasti mewakili kalangan pelabur, 19 peratus perantara, 10 peratus penerbit manakala 16 peratus daripada kategori lain.

Menurut Moody's, Malaysia juga dijangka mampu menguruskan kenaikan kadar faedah global.

Lebih 60 peratus responden berpendapat ini akan menyaksikan impak rendah sehingga terkawal akibat kenaikan kadar faedah global yang seiringan dengan pandangan Moody's.

"Kami tidak melihat penormalan kadar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) yang dijangka berlaku secara berperingkat, sebagai mendatangkan risiko kepada Malaysia.

"Jangkaan asas kami adalah kenaikan 3.0-4.0 peratus kadar Fed itu pada 2018 dan disusuli dengan tiga kenaikan pada 2019," katanya.

Bagaimanapun, majoriti peserta atau 52.4 peratus daripada mereka ternyata bimbangkan paras hutang isi rumah di Malaysia dan tidak ramai menyentuh aspek hutang sektor korporat.

Moody's sebaliknya menganggap risiko kredit dalam sektor isi rumah semakin berkurangan apabila hutang isi rumah turun kepada 84.3 peratus daripada KDNK pada akhir 2017 berbanding 88.3 peratus pada 2016.

Selain itu, majoriti atau 53 peratus juga menjangkakan keadaan kredit yang stabil untuk bank tempatan pada tahun 2018.

Moody's pula mengekalkan prospek yang stabil terhadap semua bank Malaysia yang dinilai dan dijangka mendapat manfaat daripada keadaan makroekonomi yang stabil.

Menurut agensi penarafan itu, aspek risiko kualiti kredit korporat adalah seimbang namun hutang isi rumah memaparkan risiko walaupun menyaksikan penambahbaikan struktur, baru-baru ini.

-- BERNAMA