Sentimen lemah ke atas dolar US berikutan serangan Amerika Syarikat ke atas Syria akan membantu merangsang permintaan terhadap ringgit minggu depan, kata peniaga.

Serangan peluru berpandu AS ke atas pangkalan udara Syria Jumaat lepas meningkatkan ketegangan di pasaran pertukaran asing serta pasaran saham.

Peniaga berkata, kebanyakan peserta pasaran akan memantau rapi perkembangan pertemuan antara dua pemimpin utama dunia, Presiden AS, Donald Trump dan rakan sejawatnya, Presiden China, Xi Jinping.

"Perlu diingatkan yang peserta pasaran sudah pun gelisah menjelang pertemuan Trump-Xi dan perkembangan baharu ini akan meningkatkan ketidaktentuan itu.

"Ini akan mempengaruhi pergerakan dolar US dan secara tidak langsung memberi kesan ke atas mata wang lain, termasuk ringgit," katanya kepada Bernama, dengan menambah, tidak ada banyak penggerak pasaran di dalam negara.

Untuk minggu baru berakhir, ringgit bergerak antara 4.4260 dan 4.4360 berbanding dolar US, sebahagian besarnya dipengaruhi faktor luaran seperti pertemuan Trump-Xi, data ekonomi AS yang lemah serta serangan ke atas Syria.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit diniaga lebih rendah kepada 4.4335/4365 berbanding 4.4230/4280 dolar US yang dicatat pada Jumaat.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit ditutup bercampur-campur.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1616/1649 daripada 3.1640/1685 Jumaat lalu dan mengukuh berbanding euro kepada 4.7159/7195 daripada 4.7198/7260.

Mata wang tempatan itu bagaimanapun jatuh berbanding yen kepada 4.0075/0106 daripada 3.9502/9550 minggu lalu dan merosot berbanding pound Britain kepada 5.5108/5155 daripada 5.5009/5080 sebelum ini.

-- BERNAMA