Lebih banyak warga asing dijangka memanfaatkan kelembapan ringgit untuk melabur dalam hartanah di Malaysia dengan tumpuan utama mereka di ibu negara, kata Armani Sdn Bhd.

Menurut Chua Kee Kian, Pengarah Urusan syarikat media dan pengurusan acara yang memfokuskan kepada industri hartanah itu, lazimnya warga asing membeli hartanah untuk jangka panjang dan memilikinya tanpa penyewa antara lima dan 10 tahun.

Katanya antara kawasan yang menjadi tumpuan pembeli asing ialah pusat bandar Kuala Lumpur dan Mont Kiara.

"Kami menyaksikan lebih banyak pemaju asing, terutama dari China, datang ke Malaysia bersama-sama pangkalan data pembeli mereka, untuk membeli hartanah di sini," katanya kepada pemberita, Khamis.

Beliau ditemui pada pelancaran buku mewah 'Property Insight: A Guide to Best Property Investment Opportunities 2015/2016' oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz.

Chua berkata bagaimanapun pelaburan oleh warga tempatan menyusut antara 10 dan 15 peratus dalam tempoh dua bulan lepas disebabkan kelembapan iklim ekonomi tempatan dan global.

Pelabur tempatan sebaliknya lebih berminat terhadap pelaburan hartanah di seberang laut seperti Australia, katanya.

Chua berkata pelaburan dalam hartanah seharusnya untuk jangka sederhana dan jangka panjang bagi mengharungi ketidaktentuan pasaran.

"Pelaburan hartanah adalah tentang keyakinan pasaran. Kami jangka ketidaktentuan dalam tempoh enam bulan akan datang namun ia akan stabil dan kembali pulih," katanya.

Buku mewah itu yang menampilkan 45 hartanah kediaman dan komersial serta analisis mengenai hartanah, profil dan ulasan pelabur berjaya boleh dibeli di kedai buku utama.