Kenanga Research mengambil sikap berhati-hati terhadap tinjauan SEG International Bhd (SEGi) berikutan keuntungan bersih suku pertamanya sebanyak RM1 juta adalah jauh di bawah jangkaan.

"Kami percaya kumpulan itu masih bergelut untuk pulih dari kehilangan bilangan besar pelajar yang tamat pengajian serta berhadapan dengan peraturan baharu yang ditetapkan oleh kerajaan," kata Kenanga dalam satu nota.

Tahun ke tahun, perolehan RM55.8 juta suku pertama 2013 syarikat itu turun 28 peratus berikutan pengambil bilangan pelajar yang kecil, yang ditambah oleh bilangan pelajar yang ramai yang tamat pengajian dari program kejururawatannya.

Persaingan yang semakin meningkat di dalam bidang pendidikan tinggi swasta akan memberikan cabaran tambahan kepada kumpulan itu, kata Kenanga.

Ia menurunkan penarafan saham SEGi kepada "kurang berprestasi" dengan harga sasaran RM1.45, berbanding RM1.75.

Sementara itu, satu lagi syarikat penyelidikan, RHB Research mengekalkan saranan "jual" terhadap saham syarikat itu dengan penurunan sasaran harga RM0.96 berbanding RM1.20.

"Keputusan yang mengecewakan itu selaras dengan keprihatinan kami bahawa prestasi SEGi kurang memberangsangkan berikutan persaingan dari peningkatan taraf beberapa institusi pengajian tinggi.

"Sekali gus, kami terus menjangka tahun kewangan separuh pertama 2013 yang sukar berikutan bilangan kemasukan pelajar yang rendah dan kekal mengambil sikap berhati-hati mengenai pertumbuhan pendapatan jangka dekatnya," katanya.