Keputusan untuk membuat pelaburan hartanah di Jakarta, Indonesia masih dalam peringkat penilaian, kata Pengarah Urusan Kumpulan TH Properties Sdn Bhd Datuk Roszali Othman.

Beliau berkata syarikat itu menyasarkan Jakarta selepas Sydney, Australia, bagi pasaran luar negaranya, berikutan populasi Jakarta yang mempunyai seramai 18 juta penduduk.

"Kami menyasarkan Jakarta yang seterusnya. Di Jakarta ada satu lokasi, (kita) tengah buat kajian dan akan bagi tahu Lembaga Pengarah untuk kelulusan pelaburan ini.

"Saya jangka hujung Mei ini kita akan tahu sama ada pelaburan di sana boleh diteruskan atau tidak," katanya kepada media selepas menghadiri Karnival Ceria di Warisan Puteri 2, dekat sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi TH Properties Datuk Mohzani Abdul Wahab.

Roszali berkata pasaran luar negara menyumbang kira-kira 60 peratus kepada pendapatan syarikat bagi tahun lepas.

Ketika ini, TH Properties mempunyai enam projek hartanah di Sydney dengan nilai pembangunan kasar kira-kira RM3.5 bilion.

Mengenai perkembangan lain, Roszali berkata TH Properties merancang untuk membina 336 unit rumah mampu milik Jenis A yang berharga RM80,000 di Warisan Puteri 2, dekat sini, hujung tahun depan.

"Untuk projek rumah mampu milik ini, kita akan buat jenis rumah bandar dan kita cuba untuk berbincang dengan Majlis Perbandaran Seremban dan kerajaan negeri untuk meluluskan pelan itu," katanya.

-- BERNAMA