Kerajaan akan meneruskan usahanya bagi meningkatkan asas-asas ekonomi negara bagi mengukuh serta mengekalkan status penarafan yang diberikan oleh agensi-agensi penarafan antarabangsa.

Malah, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, penarafan yang diberikan itu juga atas usaha serta langkah proaktif yang sudah dilaksanakan kerajaan.

“Kita ada tiga agensi penarafan iaitu Moody’s, S&P (Standard & Poor's) dan juga Fitch Ratings dan kesemuanya memberikan penarafan kredit yang sama iaitu di antara 'A3' ataupun 'A-' serta memberi unjuran stabil (ke atas Malaysia).

“Sebagai contoh, penarafan yang diberikan kepada Malaysia daripada Fitch Ratings telah pun mengambil kira langkah-langkah proaktif yang kerajaan telah lakukan menerusi pengubahsuaian Bajet 2016,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan program tanggungjawab sosial korporat Ekuinas, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Fitch Ratings telah mengesahkan penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) mata wang tempatan dan asing jangka panjang Malaysia masing-masing kekal pada `A-' dan 'A' dengan unjuran stabil.

Turut disahkan adalah penarafan terbitan bon mata wang tempatan tidak bercagar senior pada 'A'. Had siling negara iaitu risiko modal dan kawalan tukaran asing pula disahkan pada 'A' dan mata wang asing jangka pendek IDR pada 'F2.'