Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terlibat dalam industri teknologi hijau digesa memperbanyak penghasilan produk berasaskan teknologi tersebut di pasaran domestik pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan berkata pelbagai insentif telah diperkenal oleh kerajaan seperti Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS), untuk membantu PKS.

"Sejak GTFS diperkenalkan pada 2010 hingga Disember 2016, permohonan 272 projek diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM2.962 billion," katanya kepada pemberita selepas melancarkan produk Oxy-Hydro Fuel Cell model GX-300 oleh syarikat Amiran Technology Sdn Bhd, di sini hari ini.

Turut hadir Naib Presiden, Pengurusan Perkhidmatan Teknologi Park Malaysia Shahzman Abu Samah, Presiden/Ketua Pegawai Teknologi Amirin Technology, Amir Ahmad dan Pengarah Urusan Ali Sadiqin Mohamed Noor.

"Pembiayaan tersebut melibatkan 221 projek sektor tenaga, diikuti air dan sisa (43 projek), bangunan (tiga projek) dan pengangkutan (lima projek)," katanya.

GTFS akan dilanjutkan lima tahun lagi mulai 2018 dengan peruntukan sebanyak RM5 bilion.

Lanjutan pelaksanaan skim itu dipersetujui pada mesyuarat Majlis Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.

"Harapan kita, PKS terus mendapatkan skim pembiayaan ini dan lebih banyak lagi PKS terlibat dalam projek yang melibatkan inovasi dan teknologi," kata Ahmad.

Oxy-Hydro Cell model GX-300 direka khusus untuk kenderaan berenjin 3,000 cc ke bawah.

Produk Inovasi tersebut yang berasaskan tenaga boleh baharu, hanya menggunakan air mineral suling yang berkeupayaan untuk menjana kuasa hidrogen-oksigen yang membantu pembakaran minyak di dalam kebuk enjin dengan sempurna.

Produk tahan lasak tersebut berupaya untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 80 peratus, meningkatkan daya tork dan lebihan kilometer perjalanan sehingga 40 peratus.

Amir berkata produk tersebut telah terjual sebanyak 1,500 unit sejak ia mula diperkenal di pasaran tiga bulan lepas, dan syarikat tersebut menyasarkan untuk menjual sebanyak 2,000 unit sebulan menjelang akhir tahun.

Beliau berkata syarikat tersebut telah menerima permintaan daripada Thailand, Indonesia dan Kemboja untuk memasarkan produk GX-300 yang dijangka bermula pada pertengahan tahun ini.

"Kita sasarkan untuk pasaran ASEAN terlebih dahulu sebab pasaran ASEAN sangat besar dan impak harga minyak di negara ASEAN memang ketara. Kita juga akan membuat perkongsian strategik untuk mempelbagaikan penggunaan produk GX-300 pada masa akan datang," kata Amir.

Beliau berkata sebanyak RM1.2 juta telah diperuntukan sepanjang pembangunan produk ini yang bermula pada 2009.

Amiran Technology ialah syarikat inkubatee Tecknology Park Malaysia. Syarikat tsersebut adalah syarikat berasaskan teknologi tenaga boleh baharu, yang kini mempunya 10 pejabat pengedaran di seluruh Malaysia, yang beroperasi di bawah Amiran Network Sdn Bhd.

Syarikat ini telah melantik 400 bengkel pemasangan dengan 1,000 usahawan perniagaan.

-- BERNAMA