Kerajaan mengawal outlet dalam perniagaan minuman keras, rokok dan kereta mewah di pulau bebas cukai Labuan serta Langkawi bagi membendung ketirisan pendapatan cukai.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, menerusi langkah kawalan yang diumumkan dalam Pembentangan Pengubahsuaian Bajet 2016 baru-baru ini, kerugian kerajaan dalam bentuk cukai sebanyak RM1 bilion akan dapat dibendung.

"Masalah ketirisan cukai RM1 bilion ini ialah kerana barangan dari Langkawi dan Labuan disalahgunakan... ini termasuk rokok, minuman keras dan kereta mewah. Saya tidak salahkan penduduk Labuan. Mungkin ada sindiket tertentu melakukan perkara ini.

"Jadi kita akan ubah di mana yang boleh. Kita masih bagi status pulau bebas cukai, cuma kita kawal outletnya sahaja. Jadi outlet yang rekodnya baik, boleh kita bagi kemudahan ini," katanya ketika berucap merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Labuan di Pasar Sentral Labuan di sini, hari ini.

Pembukaan UTC Labuan ini merupakan janji Najib untuk datang semula ke pulau bebas cukai tersebut semasa berucap merasmikan Pasar Sentral Labuan tahun lalu.

UTC Labuan yang dibina dengan kos RM23 juta dan ia disiapkan dalam tempoh lapan minggu.

Ia menempatkan agensi-agensi kerajaan yang menyediakan perkhidmatan untuk penduduk Labuan serta Lawas dan Limbang di Sarawak dan Kuala Penyu di Sabah.

Kemudahan di UTC juga boleh dinikmati penduduk sekitar Menumbok, Beaufort, Sipitang, Limbang dan Lawas kerana jarak ke Labuan lebih dekat berbanding ke Kota Kinabalu mahupun Kuching untuk berurusan.

Projek UTC Labuan dilihat memudahkan penduduknya, terutama bagi permohonan kad pengenalan yang kini boleh disiapkan dalam tempoh sejam, berbanding tiga minggu sebelum ini.