Kerajaan terus komited untuk meningkat dan menambah baik sektor minyak sawit negara tahun ini, demikian menurut Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dalam Laporan Tahunan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dikeluarkan Selasa.

Pemandu dalam laporan tahunan 2012 itu menyatakan bahawa di bawah rancangan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), minyak sawit, komoditi paling utama Malaysia itu dijangka mencapai Pendapatan Negara Kasar (PNK) RM125 bilion kepada RM178 bilion dan mewujudkan 41,600 peluang pekerjaan menjelang 2020, dengan tumpuan kerajaan terhadap lapan Projek Permulaan (EPP).

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, katanya pengeluaran minyak sawit telah meningkat hasil daripada kejayaan dan sokongan dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan untuk membangunkan bahan tanaman berhasil tinggi dan berkualiti oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Menurutnya, lapan Projek Permulaan (EPP) telah dikenal pasti di bawah NKEA minyak sawit untuk memacu pertumbuhan sektor dan untuk memainkan peranannya sebagai elemen utama ekonomi negara.

Sebagai langkah untuk mempercepatkan program penanaman semula sawit dan pengurusan stok minyak sawit negara, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM432 juta sebagai dana untuk inisiatif penanaman semula dan penanaman baharu oleh pekebun-pekebun kecil persendirian pada 2013, katanya.

Menurut Pemandu, kerajaan akan turut mempercepatkan penanaman semula kawasan sawit yang sebelum ini tertunda dan pembangunan kawasan baharu minyak sawit kepada 130,000 hektar tahun ini.
EPP menyasarkan untuk meningkatkan kawasan yang mematuhi amalan pertanian baik kepada 200,000 hektar pada 2013, sebagai langkah untuk meningkatkan hasil minyak sawit negara.

Menurut laporan itu, EPP itu akan terus memberi tumpuan untuk meningkatkan produktiviti penuaian buah tandan segar (BTS) sawit dengan sasaran pembelian 1,500 unit cantas oleh syarikat-syarikat perladangan dan pekebun kecil.

EPP turut menyasarkan untuk menubuhkan lapan loji biogas tambahan di kilang minyak sawit pada tahun ini, dengan dua daripadanya dijangka boleh menyalurkan elektrik ke dalam grid kuasa elektrik menjelang tahun depan, kata Pemandu.

Selain itu, Pemandu turut menyatakan kerajaan telah memperuntukkan bajet tambahan RM127.1 juta sebagai geran pembangunan pada tahun ini sebagai insentif kepada pihak industri untuk menceburi bahan terbitan oleo yang memerlukan tenaga kerja dan teknologi yang berkemahiran tinggi.

Kerajaan juga akan terus memudahkan pembangunan projek minyak bio di samping membangunkan akses pasaran tenaga boleh baharu melalui lain-lain bentuk biojisim kepada tenaga, katanya.

Menurutnya, kerajaan juga akan meningkatkan kadar pengekstrakan minyak negara kepada 21.02 peratus untuk tahun ini.