Kerajaan Persekutuan tidak boleh menghalang tindakan kerajaan negeri menyerap Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi perkhidmatan ditawarkan mereka.

Namun, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong, tindakan berkenaan perlu diteliti kerana ada di antara perkhidmatan berkenaan turut melibatkan aspek perniagaan atau komersial.

Menurutnya, memandangkan ia hasil kerajaan negeri, mereka berhak memutuskan apa yang perlu dilakukan terhadapnya.

"Kita (Kerajaan Persekutuan) telah menasihati mereka (kerajaan negeri) untuk meneliti perkara itu kerana ada di antaranya turut membabitkan aktiviti perniagaan seperti pelesenan perniagaan, pembayaran papan tanda dan sebagainya.

"Kesemua ini adalah pendapatan untuk rakyat, hasil untuk kerajaan negeri. Jadi apakah mereka perlu membayar GST bagi pihak aktiviti komersial dan bagaimana mereka perlu mengasingkannya?

"Ini adalah di antara perkara yang perlu diteliti secara terperinci serta masa untuk dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program 'Outreach and Biz Talk' SME Bank Group di sini, hari ini.

Chua menjawab pertanyaan sama ada kerajaan negeri dibenarkan menyerap GST bagi perkhidmatan kerajaan yang ditawarkan mereka.

Sejak pelaksanaan GST 1 April lepas, ada kerajaan negeri seperti Johor, Terengganu dan Pulau Pinang yang menyatakan kesediaan untuk menyerap GST bagi perkhidmatan yang ditawarkan.

Mengulas lanjut, Chua berkata Kementerian Kewangan masih lagi menunggu butiran terperinci daripada pihak kerajaan negeri berhubung cara pelaksanaan itu yang dijangka dikemukakan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

"Saya rasa ia (GST) perlu diteruskan terlebih dahulu untuk tempoh masa tertentu sebelum sebarang pelarasan dibuat. Ini kerana, pelarasan ini akan mencetuskan ketidaktentuan atas dasar ad hoc dan seumpamanya.

"Memandangkan ada aktiviti ini berkaitan komersial, apakah ini bermakna kerajaan negeri mahu melibatkannya? Ini bermakna mereka turut memberi subsidi kepada perniagaan. Adakah rakyat menyokong perkara itu? Kita sendiri pun tidak pasti," katanya.

Sementara itu, Chua berkata kerajaan terus menerima cadangan daripada badan bukan kerajaan serta persatuan perniagaan bagi meningkatkan pelaksanaan GST.

"Ia memerlukan pendekatan langkah demi langkah. Sebarang perubahan drastik dalam tempoh sekarang boleh mencetuskan kekeliruan. Pada masa ini, senarai kita adalah yang terpanjang dari segi pengecualian atau berkadar sifar," katanya.

Chua menjelaskan, keutamaan kerajaan bagi pelaksanaan cukai itu adalah untuk meminimumkan kekangan terhadap perniagaan, kekeliruan pengguna serta meminimumkan perbuatan salah laku input cukai.