Kerajaan menyediakan pelbagai jenis bantuan seperti pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dalam usaha meningkatkan pembabitan masyarakat Orang Asli dalam bidang keusahawanan secara lebih serius.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, kerajaan sentiasa menggalakkan penyertaan Orang Asli sektor pertanian, penternakan serta keusahawanan industri kecil dan sederhana.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Pembangunan Ekonomi Masyarakat Orang Asli peringkat negeri Perak di Kampung Chenderong Kelubi di sini, hari ini.

Tajuddin berkata program itu akan diperluaskan ke negeri lain memandangkan terdapat kira-kira 300,000 masyarakat Orang Asli di negara ini.

Program keusahawanan anjuran TEKUN dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli itu berlangsung sehari, bertujuan memberi pendedahan keusahawanan kepada masyarakat Orang Asli.