Berita  |  Bisnes

Kerajaan sedia geran sebanyak RM50 juta untuk bantu industri komoditi

Kerajaan sedia geran sebanyak RM50 juta untuk bantu industri komoditi
SIEW KEONG: Geran sebanyak RM50 juta disediakan untuk industri komoditi menangani kebimbangan keselamatan makanan dalam proses penghasilan minyak sawit. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan geran sebanyak RM50 juta untuk membantu industri komoditi menangani kebimbangan keselamatan makanan dalam proses penghasilan minyak sawit.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong memberi jaminan minyak sawit dan derivatifnya selamat digunakan sebagai bahan makanan.

"Sempena 100 tahun penanaman kelapa sawit secara komersial di Malaysia, kerajaan akan terus memberi keutamaan ke arah meningkatkan berkualiti dan keselamatan produk minyak sawit Malaysia bagi penggunaan.

"Kita belum membuat keputusan mengenai bagaimana syarikat akan menerima geran itu. Tetapi, ia dibuka sekarang untuk semua kilang dan kilang penapis yang bersama-sama menjalankan penyelidikan dan terus meningkatkan lagi kualiti minyak sawit," katanya kepada pemberita selepas perasmian Persidangan Minyak Sawit dan Laurik Global di sini pada Selasa.
Malaysia, sebagai negara pengeluar dan pengeksport utama minyak sawit akan terus mengambil langkah-langkah untuk menangani aspek keselamatan makanan minyak sawit.

Bagi meningkatkan lagi imej industri kelapa sawit, Mah berkata Malaysia akan memulakan mandatori pensijilan sawit diperakui dan minyak sawit lestari di bawah rangka kerja Minyak Sawit Lestari Malaysia.

"Skim ini yang dilaksanakan secara sukarela bermula 2015 akan diwajibkan secara berperingkat-peringkat bermula 31 Disember 2018," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mah, merujuk kepada Korea Utara, berkata industri tidak bimbang mengenai eksport minyak sawit dan getah ke negara itu.

Empat puluh peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke Korea Utara terdiri daripada minyak sawit dan getah.

Eksport minyak sawit ke Korea Utara pada tahun lepas hanya bernilai RM3 juta dan getah sebanyak RM1.2 juta.

Perdagangan dua hala antara kedua-dua negara pada tahun lepas berjumlah RM10.7 juta.

Mengenai prospek minyak sawit, Mah menjangka eksport akan mencecah RM70 bilion tahun ini berbanding RM67 bilion pada 2016 dan harga minyak sawit mentah pada purata antara RM2,700 dan RM2,800 setan tahun ini.

"Kita mengekalkan unjuran sebelum ini yang MSM akan berada pada purata antara RM2,700 satu tan dan RM2,800 satu tan metrik pada 2017.

"Ini adalah dengan jangkaan harga lebih tinggi, didorong oleh pelbagai usaha dan inisiatif kerajaan, termasuk melibatkan diri dalam pelbagai pasaran lain, terutama India dan Iran," kata Mah.

-- BERNAMA